MUHAMMAD NAJIB BIN MOHAMAD ISAHAK (242053)
PENDAHULUAN
Pertanian
adalah merupakan tunggak asas kepada kehidupan manusia baik dari segi sumber
makanan, kewangan dan ekonomi. Slogan ‘pertanian adalah perniagaan’ sememangnya
ada kebenaran. Situasi yang membolehkan aktiviti pertanian itu menjadi satu
perniagaan boleh terjadi apabila pengeluaran hasil pertanian pekebun atau
peniaga ini tadi bukan sahaja telah melebihi keperluan sara hidup diri, malahan
telah dapat memberi keuntungan kepada pengusahanya tadi.‘Pertanian adalah
perniagaan’ juga merupakan visi yang sangat popular. Ia bertujuan untuk
mentransformasikan Malaysia daripada sebuah negara perindustrian kepada sebuah
negara pertanian. Dengan melakukan aktiviti-aktiviti berasaskan pertanian,
seseorang itu mampu menjana pendapatan yang lebih besar dan bukan sekadar untuk
keperluan diri sahaja. Persepsi rakyat terhadap sektor pertanian juga perlu
diubah. Rakyat perlu lebih berani mengambil risiko dan mula berbakti kepada
tanah. Pertanian perlu diceburi oleh segenap lapisan umur dan bukan hanya
petani-petani yang sudah lanjut usianya.Tumpuan kerajaan kepada sektor
pertanian bukanlah bersifat satu langkah ke belakang. Usaha ini dilihat sebagai
salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dan
seterusnya membantu menambah hasil pendapatan negara. Dalam memajukan sektor
pertanian, kerajaan telah melakukan banyak perubahan daripada aspek proses dan
keperluan jentera. Dengan bantuan agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan
dan Kemajuan Pertanian Malaysia atau MARDI, kita telah berjaya menghasilkan
pelbagai variasi, klon dan baka tanaman baru dengan bantuan teknologi ICT yang
terkini.
Kepentingan Pertanian Kepada
Negara
TERAS DASAR RANCANGAN
MALAYSIA KESEMBILAN
Selaras
dengan hala tuju Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) dan juga wawasan tampuk
pimpinan Negara, pendekatan pertanian baru ini adalah diharapkan dapat
mencetuskan arus perindustrian pertanian di Negara kita pada akhir Rancangan Malaysia Kesembilan. Revolusi ini
akan berupaya mempergiatkan semula sektor pertanian dan seterusnya
menjadikannya salah satu jentera pertumbuhan ekonomi Negara. Bagi mencapai
matlamat ini, pembangunan sektor pertanian dalam Rancangan Malaysia Kesembilan
akan dilaksanakan berdasarkan teras dasar seperti Meningkatkan pengeluaran
pertanian termasuk penerokaan sumber pertumbuhan baru dengan penyertaan sektor
swasta yang lebih besar. Mengembangkan aktiviti pemprosesan berasaskan
pertanian dan kepelbagaian produk. Memperkukuhkan pemasaran dan rangkaian
global. Meningkatkan pendapatan pekebun kecil, petani dan nelayan dan Menambah
baik sistem penyampaian perkhidmatan.
SASARAN RANCANGAN MALAYSIA
KESEMBILAN
Berdasarkan
teras dasar pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan yang ditetapkan, perancangan
dan pelaksanaan projek dan program akan dibuat bagi mencapai 5 sasaran khusus
seperti Menjanakan pertumbuhan nilai ditambah sebanyak 7.6% berbanding dengan
sumbangan sektor perladangan sebanyak 3.2%. Mencapai imbangan perdagangan dalam
makanan sebanyak RM 1.2 billion. Mencapai pertumbuhan nilai ditambah bagi
industri asas tani sebanyak 5.2%; dan menarik pelaburan swasta sebanyak RM 20.1
bilion bagi mengkomersialkan pengeluaran sektor makanan dan industri asas tani.
STRATEGI PELAKSANAAN
RANCANGAN MALAYSIA KESEMBILAN
Penterjemahan
hala tuju dan teras dasar Rancangan Malaysia Kesembilan akan menumpukan kepada
usaha ke arah menjayakan matlamat akhir dan sasaran yang telah ditetapkan.
Program-program dan projek pembangunan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan
bakal dilaksanakan adalah selaras dengan strategi seperti berikut menambahkan kawasan pengeluaran agro-makanan.
Memajukan sumber pertumbuhan baru seperti tangkapan ikan laut dalam dan tuna,
rumpai laut, ikan hiasan dan bunga-bungaan. Meningkatkan industri asas tani. Mempelbagaikan
sumber pendapatan golongan sasar. Memanfaatkan Agro-bioteknologi dan Marin
Bioteknologi. Peningkatan Keupayaan Pemasaran. Pematuhan Piawaian dan Kualiti
Antarabangsa. Penyediaan Pinjaman dan Insentif. Penumpuan kepada Total Factor
Productivity Secara keseluruhannya, sasaran utama pembangunan pengeluaran
agro-makanan dan pemprosesan hiliran di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan
ialah untuk memperbanyakkan golongan petani, penternak dan nelayan moden dan
komersial serta agro-entrepreneurs untuk menerajui pembangunan agro-makanan
yang private-sektor driven tanpa mengabaikan petani tradisional yang akan
ditingkatkan kapasiti dan keupayaan pengeluaran mereka agar dapat diserapkan
dalam proses transformasi ini supaya dapat meningkat produktiviti dan
pendapatan mereka. Pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan ini adalah selari
dengan harapan tampuk pimpinan Negara untuk merevolusikan dan mengindustrikan
sektor pertanian ini supaya menjadi lebih moden, dinamik dan berdaya saing. Pada
peringkat awalnya, pertanian di negara kita hanya berfungsi untuk memenuhi
keperluan asas rakyat tempatan. Kini, fungsi pertanian ternyata telah berubah.
Pertanian dilihat sebagai perniagaan yang memberi prospek besar kepada seluruh
masyarakat Malaysia, membantu merapatkan jurang sosial ekonomi dalam masyarakat
dan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pada tahun 2010, nilai
pengeluaran kasar daripada Banci Ekonomi 2011 untuk sektor pertanian adalah
sebanyak RM53,452.1 juta. Penyumbang utama pengeluaran dalam sektor pertanian
adalah subsektor tanaman dengan RM37,275.6 juta, diikuti perhutanan &
pembalakan (RM8,111.0 juta), ternakan (RM6,591.5 juta) dan akhir sekali
perikanan (RM1,474.1 juta). Bidang pertanian dilihat dapat mengurang kebergantungan
terhadap pengimportan bahan makanan dari negara lain. Kebanyakan bahan makanan
asas seperti beras, kopi, koko dan bijirin yang lain sesuai ditanam di negara
ini. Jika keperluan dalaman rakyat
Malaysia adalah mencukupi, maka kita tidak perlu mengimport bahan makanan ini
daripada negara luar. Pertanian juga dilihat sebagai salah satu cara untuk
menggalakkan pengaliran wang masuk melalui pengeksportan hasil pertanian ini ke
negara-negara luar. Selain itu juga, bidang pertanian juga akan membuka peluang
pekerjaan kepada penduduk setempat. Mengikut bancian yang dibuat, jumlah tenaga
pekerja di sektor pertanian pada 2010 adalah dianggarkan seramai 390,708 orang.
Kategori pekerja bergaji adalah seramai 384,769 (98.5%) dan hanya 5,939 orang
(1.5%) adalah pemilik yang bekerja, rakan niaga yang aktif dan pekerja keluarga
tidak bergaji. Daripada jumlah tenaga pekerja itu, 318,583 (81.5%) adalah
pekerja lelaki dan selebihnya (18.5%) adalah pekerja wanita. Pertanian juga
turut memberi keuntungan yang besar kepada pelabur dan pengusaha yang
melakukannya. Sekiranya pengusaha menitik beratkan aspek kuantiti dan kualiti,
maka harga pasaran hasil yang akan dijual sudah tentu akan meningkat. Bagi menambahkan lagi daya saing produk yang
dihasilkan, proses tambah nilai dalam aspek pemprosesan, penggredan,
pembungkusan dan pemasaran perlu juga diberikan keutamaan. Dengan menceburi
bidang pertanian, secara tidak langsung kita akan dapat membantu negara
memenuhi keperluan bahan makanan sekaligus mengelakkan krisis makanan daripada
berlaku. Dengan bilangan penduduk Malaysia dijangka meningkat sehingga 30.5
juta penduduk menjelang tahun 2020, tentunya keperluan makanan akan semakin
meningkat. Masalah pertambahan jumlah penduduk dunia yang tidak seimbang dengan
pengeluaran makanan adalah antara alasan yang sering dijadikan sebab mengapa
terjadinya krisis kekurangan makanan di dunia. Keperluan bahan makanan yang
mendadak yang tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana
kekurangan sumber-sumber adalah amat membimbangkan. Selain daripada isu
pertambahan penduduk, faktor lain yang membawa kepada masalah kekurangan makanan
adalah berpunca daripada kejadian bencana alam yang berterusan. Apabila
terjadinya bencana alam, ladang-ladang pertanian akan musnah dan ada yang terpaksa
menukar tanah-tanah pertanian menjadi kawasan penempatan penduduk. Akibatnya
keluasan tanah-tanah pertanian menjadi semakin kecil. Perubahan cuaca yang
ekstrem di sesetengah negara juga boleh menjadi sebab keperluan bahan makanan
semakin berkurangan.. Krisis makanan juga pernah berlaku di Malaysia pada bulan
Mac dan April tahun 2008. Krisis ini terjadi apabila kekurangan beras dan
kenaikan harga minyak mentah global. Ternyata, ia telah meninggalkan kesan yang
mendalam kepada rakyat apabila inflasi berlaku dan harga keperluan makanan naik
dengan mendadak. Pertanian juga dapat dijadikan perniagaan apabila konsep
agro-pelancongan diterapkan. Agro-pelancongan dibangunkan oleh Kementerian
Pertanian Dan Industri Asas Tani sementara Kementerian Pelancongan membantu
dari aspek promosi. Ia adalah satu konsep pelancongan yang berkembang pesat
kerana Malaysia kaya dengan keindahan alam semulajadinya. Pelbagai aktiviti
berkaitan dengan sektor pertanian dan perladangan disediakan kepada para
pelancong. Antara aktiviti yang mendapat sambutan dalam agropelancongan ini
adalah lawatan ke dusun buah-buah dan ladang ternakan, penyelidikan, homestay
dan sebagainya. Felda Residence Tekam yang terletak di Pusat Penyelidikan
Pertanian Tun Razak (PPPTR), Jerantut, Pahang adalah antara contoh pusat
peranginan agro-pelancongan yang berbaloi untuk dikunjungi. Selain menjadi
pusat pelancongan berasas pertanian, resort juga turut menyediakan lawatan ke
ladang buah-buahan seperti nangka, durian, rambutan, manggis, langsat, duku dan
jambu mawar. Tetamu juga diajar tentang teknik pertanian moden yang digunakan
di kawasan itu.
Strategi Kerajaan
Mempromosikan Bidang Pertanian
Bagi
memulihkan persepsi rakyat terutamanya generasi muda terhadap pertanian,
kerajaan telah menyenaraikan banyak intensif dan kemudahan bagi mendorong
mereka menyertai sektor pertanian ini. Pelbagai program pertanian yang bernafas
baru dan berinovasi khusus untuk menambahkan produktiviti serta pendapatan
petani di Malaysia telah diperkenalkan. Sejumlah wang telah diperuntukkan
kepada sektor pertanian menerusi Bajet 2013 yang dibentangkan. Sejajar dengan
ikrar kerajaan, sebanyak RM5.8 bilion telah diperuntukkan kepada Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani.
Kerajaan Malaysia juga telah menyediakan sebanyak RM30 juta bagi
pembangunan program pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi
dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti,
penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat
serta penambahbaikan institusi latihan pertanian. Kerajaan juga telah
mempersiapkan sebanyak RM75 juta bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan
dan kesihatan. Bagi membantu para petani mengurangkan kos pengeluaran pula,
kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada
berjumlah RM2.4 bilion. Bantuan ini termasuk subsidi dan insentif untuk sektor
padi yang merangkumi Pemberian Subsidi Harga Padi sebanyak RM480 juta,
Pemberian Subsidi Baja Padi sebanyak RM465 juta, Insentif Peningkatan Hasil
Padi sebanyak RM80 juta, Insentif Pengeluaran Padi sebanyak RM563 juta, Subsidi
Harga Beras bernilai RM528 juta dan Subsidi Benih Padi Sah sebanyak RM85 juta.
Dengan adanya subsidi ini, kerajaan berharap agar ia dapat meringankan beban
pengusaha ladang. Di samping itu, kerajaan menggalakkan usahawan, petani dan
pekebun kecil agar dapat mengoptimumkan amalan agronomi yang baru, pengurusan
ladang secara moden, penggunaan jentera baru dan teknologi terkini serta
menggiatkan Amalan Pertanian Baik (APB) atau juga dikenali sebagai Good
Agricultural Practices (GAP). APB merupakan satu pendekatan dalam sistem
pengembangan pertanian Jabatan Pertanian Malaysia bertujuan untuk memastikan
pengeluaran hasil pertanian berkualiti dan selamat dimakan. APB merangkumi pengurusan
ladang yang lebih mesra kepada alam sekitar. APB juga bertindak memastikan
amalan-amalan yang dilaksanakan oleh pengusaha ladang semasa proses pengeluaran
dan pengendalian hasil bagi ladang adalah berkualiti, produk yang dikeluarkan
selamat dimakan dan tidak menimbulkan risiko kepada alam sekitar dan juga
pekerja ladang. Kabinet Malaysia juga telah meluluskan Dasar Agro Makanan
Negara (DAN) pada 28 September 2011, yang akan dijalankan selama 10 tahun
(2011-2020). DAN dibentuk untuk menggantikan Dasar Pertanian Negara. Antara
bidang keutamaan DAN adalah untuk mengembangkan industri ternakan, memodenkan
industri perikanan, mengukuhkan industri padi dan beras, mempromosi agro
pelancongan, meningkatkan industri asas tani, memacu pertumbuhan industri bernilai
tinggi dan memperkukuhkan industri sayuran, buah-buahan dan kelapa. Beberapa
pameran pertanian seperti Pameran Pertanian dan Agro Pelancongan (MAHA) anjuran
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diadakan dua tahun sekali
bertujuan untuk mempromosi produk-produk pertanian yang diusahakan di Malaysia
kepada masyarakat. MAHA juga memaparkan kejayaan sektor pertanian dan industri
asas tani serta ternakan dari dalam dan luar negara daripada aspek teknologi
dan inovasi. MAHA juga dijadikan platform untuk mendedahkan belia kepada bidang
pertanian di samping memperkenalkan Malaysia sebagai hab pertanian dan industri
asas tani untuk pelabur asing dan persendirian. Selain itu, beberapa buah Pusat
Transformasi Luar Bandar atau RTC seperti yang terdapat di Gopeng, Perak dan
Wakaf Che Yeh, Kelantan juga telah dibuka. Ini merupakan kaedah pemasaran moden
di mana RTC ini bertindak sebagai sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi
pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian tempatan. RTC
jug memainkan peranan sebagai pusat yang menghubungkan pengeluar dengan
pengguna.
Cabaran dan halangan bidang
perniagaan berasaskan pertanian.
Pelbagai
cabaran atau halangan yang perlu dilalui oleh usahawan tani bagi memastikan
bidang perniagaan berasaskan pertanian ini mendapat tempat di pasaran negara
mahupun antarabangsa. Terdapat tiga perkara besar yang menjadi cabaran serta
halangan dalam memastikan bidang pertanian berasaskan pertanian kekal relevan
dan dikenali sebagai satu perniagaan yang sangat menguntungkan kerana terhasil
dari sumber alam. Cabaran dan halangan tersebut adalah tanah dan pembangunan,
modal serta bencana alam.
Tanah dan Pembangunan
Malaysia
mempunyai keluasan tanah sebanyak 329,960.22 kilometer persegi. Dalam keluasan
tersebut, hampir 24 peratus adalah terdiri daripada tanah yang berdedikasi
untuk pertanian sahaja. 24 peratus tersebut diperincikan lagi kepada 7,605,00
hektar tanah pertanian yang subur dan kekal. Sungguhpun begitu, dalam era
globalisasi ini, kemodenan melangkaui segalanya dimana harga setiap tanah
semakin melonjak tinggi. Usahawan tani dilanda masalah yang melibatkan tanah
bagi tujuan pertanian dan disebabkan itu juga kemajuan dalam sektor pertanian
Negara menjadi lambat jika tanah bagi bidang ini digunakan untuk pembangunan.
Pada awalnya, kemajuan dalam sektor ini dianggarkan berlaku dalam tempoh 5
tahun dan disebabkan oleh faktor tersebut, ia dianggarkan menjangkau hingga ke
20 tahun. Oleh yang demikian, pelabur juga dikatakan menjadi tawar hati dan
tidak berminat berikutan terpaksa menunggu dalam masa yang lama. Masalah
kekurangan tanah yang sesuai untuk tujuan pertanian komersil berskala besar.
Modal
Banyak
perkara yang perlu difikirkan sebelum menjadi seorang usahawan. Dalam konteks
usahawan pertanian, banyak persoalan yang akan bermain diminda dan salah
satunya adalah berkaitan dengan modal. Modal sangat diperlukan untuk menanggung
kos-kos pengeluaran dimana pengusaha pertanian menghadapi halangan modal dari
segi pusingan modal dan aktiviti pertanian itu sendiri. Selain itu, pengusaha
juga mengalami masalah dalam kekangan kewangan untuk membeli peralatan dan
perkakas yang berkaitan. Menjadi seorang usahawan tani memerlukan persediaan
yang besar dari segi mental, fizikal dan kewangan. Cabaran ini merupakan satu
cabaran yang perlu difikirkan oleh seorang usahawan akan dimana mereka dapat
menjana sumber kewangan. Untuk menjadi seorang usahawan tani yang berjaya,
perlu ditanamkan satu sifat integriti atau jujur untuk membuat bayaran terhadap
semua proses yang dijalankan seperti pinjaman dan sebagainya. Masalah modal dan
kekangan bantuan kewangan seperti ini sering merenjatkan hasrat serta
keterujaan golongan belia untuk menjadi seorang usahawan lebih-lebih lagi di
dalam bidang pertanian.mAntara inisiatif lain kerajaan Malaysia adalah dengan
menyediakan pinjaman kepada usahawan tani dari Bank Pertanian atau kini
dikenali sebagai Agro Bank dan Tekun Nasioanal. Pinjaman untuk penggunaan modal
awal adalah tertakluk kepada apa yang telah digariskan didalam spesifikasi yang
dipersetujui oleh pihak pengurusan atasan di bank tersebut.
Bencana Alam
Antara
cabaran lain yang dilalui oleh pengusaha dalam bidang pertanian adalah faktor
bencana alam yang berterusan dan membawa kepada kemusnahan tanaman sekaligus
menyebabkan kekurangan sumber makanan. Apabila terjadinya bencana alam,
ladang-ladang pertanian akan musnah dan ianya merencatkan pengeluaran hasil
tanaman. Ini akan menyebabkan bekalan makanan terjejas dan pengusaha mengalami
kerugian yang besar. Oleh kerana bencana alam yang berterusan, tanah-tanah
pertanian terpaksa ditukar menjadi kawasan penempatan penduduk. Disebabkan itu,
keluasan tanah pertanian menjadi kecil dan tanaman menjadi terhad. Melalui
kajian yang dikongsi di Usahawan.com juga, Malaysia pernah melalui era krisis
makanan pada bulan Mac dan April tahun 2008. Kekurangan beras dan kenaikan
harga minyak mentah global menjadi punca kepada krisis makanan ini. Akibatnya,
kadar inflasi berlaku dan harga keperluan makanan naik dengan mendadak sehingga
menyebabkan penduduk merasa kesannya. Perubahan iklim dunia secara mendadak
berupaya menjejaskan jaminan bekalan makanan dunia dan merupakan cabaran utama
dalam bidang pertanian. Kenyataan ini boleh dibuktikan melalui laporan
Perkembangan Ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun 2016 yang dikeluarkan
oleh Bank Negara Malaysia iaitu “pertumbuhan dalam sektor pertanian menguncup
3.8% (S4 2015 : 1.5%), terutama mencerminkan pengeluaran minyak sawit yang
lebih rendah, berikutan fenomena cuaca El Nino yang menjejaskan hasil tanaman.”
Faktor bencana alam seperti banjir, kemarau dan tanah runtuh mempengaruhi
jumlah pengeluaran semasa dan lebih teruk lagi pengusaha terpaksa menanggung
kerugian yang besar akibat kemusnahan tanaman. Bencana banjir besar, akhir
tahun lalu, menyebabkan sektor pertanian di daerah Tanah Merah Kelantan
mengalami kerugian berjumlah RM1.35 juta meningkat hampir enam kali ganda
berbanding kerosakan pertanian akibat dua gelombang banjir dua tahun lalu. Anggaran
kerugian petani di daerah itu akibat banjir pada akhir 2014 dan Januari 2015
berjumlah RM198,500, manakala keluasan tanah pertanian yang terlibat seluas
147.73 hektar berbanding 250.94 hektar yang musnah akibat banjir besar, akhir
tahun lalu. Pegawai Pertanian Jajahan Tanah Merah, Mohd Nazmin Ismail berkata,
kerugian akibat banjir besar akhir Disember tahun lalu ditanggung seramai 396
petani membabitkan tanaman padi; buah-buahan; sayuran, industri asas tani dan
penternakan lebah kelulut. Katanya, daripada jumlah tersebut, tanaman padi
paling teruk terjejas melibatkan 252 petani, diikuti penanam buah-buahan
seramai 86 orang, manakala petani sayur; industri asas tani dan lebah kelulut
masing-masing berjumlah 38, 13 dan tujuh orang.
Sokongan dan bantuan
kerajaan kepada perniagaan berasaskan pertanian.
Peruntukan
Bajet 2016 Dalam usaha meningkatkan sumber bekalan makanan negara, kerajaan
memperuntukkan RM5.3 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
bagi menggerakkan aktiviti ekonomi dalam sektor pertanian.Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak berkata usaha berkenaan akan dikelola menerusi empat
program utama meliputi penanaman, menaik taraf infrastruktur, pembukaan pasar
tani baharu dan program agroprenur muda."RM450 juta diperuntukkan untuk
program berimpak tinggi seperti penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran,
menyedia geran pemadanan, penyelidikan produk herba dan penternakan ikan dalam
sangkar," kata Najib yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet
2016 di Dewan Rakyat hari ini.Sejumlah RM180 juta pula diperuntukkan untuk
menaik taraf infrastuktur saliran di kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu di
seluruh negara.Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), yang
bertanggungjawab dalam pemasaran produk pertanian, menerima peruntukan RM190
juta bagi menjayakan Program Penurunan Harga dengan menambah 50 lagi pasar tani
dan mewujudkan 150 Agrobazaar Rakyat 1 Malaysia (ABR1M) yang baharu. "40
peratus daripada jualan di ABR1M adalah barang-barang basah seperti ikan, sayur
dan sebagainya akan dijual dengan harga yang dianggarkan lima hingga 30 peratus
lebih rendah daripada harga pasaran," kata Najib. Beliau berkata untuk
menggalak penglibatan golongan muda dalam industri itu,RM90 juta diperuntukkan
untuk meneruskan pelaksanaan Program Pembangunan Agroprenur Muda. Dua bentuk
bantuan yang akan diberi adalah pemberian geran 'in-kind' dan penyediaan Dana
Pembiayaan Usahawan.Selari di bawah usaha ini, beberapa institut dan jabatan
kerajaan berkaitan pertanian akan turut melalui proses penjenamaan semula. Antara
yang bakal terlibat adalah Institut Penyeldikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia
(MARDI), Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan.Turut
menerima manfaat adalah Projek Ladang Pengganda untuk penternakan lembu dan
ladang ayam kampung. Sektor pertanian dan industri asas tani perlu mengalami
transformasi untuk menjadikan sektor ini lebih moden, dinamik dan berdaya
saing. Justeru, kerajaan di bawah kementerian yang berkaitan melihat
usaha-usaha sebagai jalan penyelesaiannya.
Transformasi Ladang
Saiz
tanah yang tidak ekonomik menyebabkan produktiviti dan kos pengeluaran yang
tinggi. Program untuk memperolehi faedah berskala seperti projek kelompok,
pemuliharaan tanah terbiar secara estet/kelompok, Taman Kekal Pengeluaran
Makanan dan Projek 10 Tan Padi telah pun dilaksanakan. Dalam skim-skim ini,
Amalan Pertanian Baik (Good Agriculture Practices) digalakkan supaya keluaran
pertanian yang dihasilkan adalah berkualiti dan selamat dimakan. Program
Plantation Integration Areas (TAC) juga dilaksanakan bagi mengoptimumkan
penggunaan kawasan perladangan bagi menjanakan hasil sampingan dengan ternakan
lembu.
Transformasi Tenaga Buruh
Kepada Penggunaan Mekanisasi, Otomasi dan Teknologi.
Negara
perlu meningkatkan tahap dan proses pengeluaran daripada yang bergantung berat
kepada tenaga buruh kepada berintensifkan modal, teknologi dan berasaskan ilmu
pengetahuan. Program pemindahan teknologi dan cara tanaman yang baru bagi
meningkat produktiviti telah dilaksanakan. Ini termasuk program inkubator dan
belia tani bagi melahirkan usahawan tani, program fertigasi tanaman pertanian,
dan sistem ternakan ayam secara tertutup (closed house system). Di dalam
pembangunan perikanan pula, usaha bagi meningkatkan tahap teknologi
dilaksanakan melalui program pen culture, akuakultur secara nukleus, open sea
cage culture dan mengurangkan kehilangan hasil akibat ´post harvest´.
Pengurusan Ladang Yang Moden
Program
latihan dan kemudahan akan dipertingkatkan bagi memastikan peladang dibekalkan
dengan kemahiran teknikal dan teknologi bagi meningkatkan produktiviti manakala
pakar-pakar dan pekerja yang terlibat dalam aktiviti bimbingan dan latihan
dilengkapkan dengan pengetahuan dan kepakaran bagi membantu masyarakat tani.
Untuk mencapai tujuan ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang
berusaha meningkatkan khidmat pengembangan dan khidmat nasihat teknikal. Inkubator-inkubator
bagi memberi latihan tambahan juga telah dibina untuk memberi latihan kepada
golongan sasar di ladang sebenar.
Daya saing Lebih Tinggi
Kualiti
produk yang rendah dan tidak seragam menyebabkan hasil pertanian negara tidak
dapat bersaing di pasaran global. Dengan harga yang tinggi di pasaran domestik
dan jangkaan lambakan hasil pertanian dari luar negara yang lebih murah
berikutan pembukaan pasaran di bawah pelaksanaan WTO dan AFTA, hasil pertanian
negara akan menghadapi persaingan yang tinggi. Sehubungan itu, hasil pertanian
negara perlu berkualiti dan mematuhi piawaian keselamatan makanan antarabangsa
bagi membolehkan hasil pertanian dieksport mahupun dipasarkan di dalam negara.
Konsep jaminan kualiti daripada ladang ke meja hidang akan diamalkan secara
meluas melalui skim akreditasi serta kawalselia dan pemeriksaan veterinar yang
ketat di ladang ternakan, kilang makanan haiwan, rumah penyembelihan, kilang
pemprosesan, stesen kuarantin dan setiap pintu masuk ke dalam negara.
Mempelbagaikan Pulangan
Pelaburan
Masalah
pulangan terhadap pelaburan yang rendah dan lambat dapat diatasi dengan memberi
tumpuan kepada aktiviti integrasi tanaman-ternakan, intercropping, mixed
farming dan juga marinovasi. Aktiviti pemprosean hiliran juga merupakan satu
usaha untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi masyarakat tani dan menambahkan
pendapatan mereka dalam mengeluarkan produk yang diproses yang mempunyai nilai
tambah yang tinggi.
Pengezonan
Selaras
dengan pendekatan pembangunan pertanian berasaskan produk, pembangunan secara sektoral
melalui pengezonan kawasan pengeluaran pertanian akan dilaksanakan. Ini
bertujuan bagi membolehkan pembangunan pertanian secara kelompok dapat
dihasilkan supaya faedah perbandingan (comparative advantage) diperolehi.
Zon-zon pengeluaran ini termasuklah zon perindustrian akuakultur (ZIA), zon-zon
tanaman, zon-zon pengeluaran ternakan dan kawasan integrasi ladang (TAC).
Perlaksanaan zon-zon ini akan membolehkan para pengusaha meningkatkan hasil
mereka kerana keadaan agro-klimatik yang sesuai untuk aktiviti tertentu. Selain
daripada itu, ia juga membolehkan kerajaan menumpukan khidmat sokongan mengikut
jenis aktiviti pertanian yang dilaksanakan di kawasan tertentu.
Insentif Untuk Projek
Pengeluaran Makanan
Kerajaan
juga menyediakan insentif istimewa bagi projek pengeluaran makanan seperti yang
diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Di bawah insentif ini,
syarikat-syarikat yang mengusaha atau melabur dalam projek pengeluaran makanan
layak mendapatkan insentif khas selain daripada insentif-insentif lain seperti
taraf perintis, insentif untuk menggalakkan eksport dan sebagainya.
Latihan
Latihan
pertanian moden juga ada di tawarkan oleh kerajaan didalam Program Latihan
Kemahiran Pertanian Kebangsaan. Ia bertujuan menggalakkan generasi muda melibatkan
diri dalam bidang pertanian sebagai pekerja mahir dan pengusaha pertanian
bertaraf komersil dan berskala besar melalui penggunaan teknologi terkini bagi
meningkatkan kualiti dan produktivi sektor pertanian negara. Diantara objektif
program ialah menyediakan tenaga kerja mahir terlatih dalam sektor pertanian
yang meliputi semua peringkat pekerjaan iaitu pekerja mahir, penyeliaan dan
pengurusan. Melahirkan usahawan tani muda yang berdaya saing, moden dan kreatif
bagi mencapai negara yang berpendapatan tinggi. Menjadi platform kepada pelatih
untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Pelaksanaan program yang
dijalankan adalah berteraskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SPKP)
atau National Occupational Skills Standard (NOSS) yang menyampaikan latihan
berasaskan kompetensi kemahiran dan memfokuskan kepada latihan amali, projek
serta simulasi. Persijilan PLKPK adalah
ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber
Manusia.
Kemudahan Infrastruktur
Sebagai
usaha untuk meningkatkan khidmat sokongan kepada sektor pertanian, kerajaan
juga sedang berusaha meningkatkan kemudahan infrastruktur serta khidmat
sokongan di sektor pertanian. Dalam hal ini, kemudahan-kemudahan seperti
saliran dan pengairan serta jalan ladang akan diperbaiki dan dipertingkatkan
dari masa ke semasa. Selain daripada itu, kemudahan pemasaran seperti pusat
pengumpulan dan pengedaran produk pertanian juga disediakan. Tujuannya ialah
untuk meningkatkan keberkesanan rangkaian pemasaran produk pertanian dari
ladang ke pasaran. Walaupun peruntukan yang besar diperlukan oleh sektor
pertanian, kedudukan dan sumbangannya terhadap ekonomi negara tidak dapat
disangkal. Justeru, mengekal dan memeliharanya merupakan langkah yang sangat
bijak oleh kerajaan disamping dapat memastikan bekalan makanan sentiasa
mencukupi bagi umat warganegara khasnya dan warga dunia amnya yang semakin
bertambah.
Kesimpulan
Konklusinya,
kita mendapat banyak kebaikan daripada sektor pertanian. Tetapi ramai golongan
muda yang lebih gemar mencari pekerjaan di bandar besar kerana peningkatan
kegiatan perindustrian yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Namun,
kerajaan telah bersungguh-sungguh untuk menjadikan tanah lapang yang subur
sebagai tapak pertanian dan sedang menanti mereka untuk mengusahakannya.
Justeru, kita hendaklah mengubah pandangan kita terhadap sektor pertanian
kerana sektor ini sebenarnya mendatangkan banyak faedah dan menguntungkan.
Rujukan.