SEK MOHD FADZIL BIN SEK RAHMAT MIAH (242129)
PENGENALAN
PENGENALAN
Pertanian
boleh didefinasikan sebagai pengeluaran makanan dan barangan melalui
perladangan, penternakan dan perhutanan. Ia juga merupakan komponen yang utama
dalam revolusi dan pembangunan yang membawa kepada kemajuan tamadun dengan
penanaman dan penternakan yang telah mewujudkan lebihan makanan yang
mempengaruhi pembangunan dan perkembangan masyarakat yang lebih padat dan sistematik.
Aktiviti pertanian telah memainkan peranan yang paling utama dalam perkembangan
ketamadunan dengan sebahagian besar jumlah penduduk terlibat secara langsung
dalam bidang pertanian sehingga tercetusnya Revolusi Perindustrian. Pertanian
merangkumi pelbagai bidang dan teknik termasuk kaedah yang digunakan untuk
proses perluasan tanah untuk bercucuk tanam dengan membina terusan air dan
bentuk pengairan yang menjadi keperluan bidang ini. Bidang ini telah sejak
dahulu menjadi sumber makanan bagi menampung sesebuah tamadun manusia.
Penanaman
tanaman di tanah yang sesuai untuk pertanian dan penternakan haiwan di lokasi
yang bersesuaian merupakan antara asas dalam pertanian. Pada abad yang lalu,
pengenalpastian dan pengkuantitian pelbagai bentuk pertanian telah menjadi
perkara yang diutamakan namun kini dalam dunia yang semakin moden dan maju,
julat yang diambil kira biasanya meliputi antara pertanian mampan misalnya,
permakultur dan pertanian organik dan pertanian intensif contohnya, pertanian
perindustrian. Pertanian boleh dikatakan satu industri atau bidang yang
berterusan dan dinamik dalam persekitaran dunia yang berubah dengan pesat.
Agronomi
ataupun ilmu pertanian moden, pembiakbakaan tumbuhan, racun perosak, dan baja
serta peningkatan ilmu dan teknologi telah mempengaruhi peningkatan hasil
tanaman secara drastik namun dalam masa yang sama, proses dan senario tersebut
berupaya menjejaskan sistem ekologi dan kesihatan manusia. Pembiakbakaan
pilihan dan amalan moden penternakan seperti penternakan babi intensif yang serupa
amalannya terhadap penternakan ayam mampu meningkatkan pengeluaran daging,
tetapi menimbulkan rasa bimbang tentang kekejaman haiwan dan kesan terhadap kesihatan
antibiotik, hormon pertumbuhan dan bahan kimia lain yang umumnya digunakan
dalam pengeluaran daging perindustrian.
Sektor
pertanian negara merupakan salah satu komponen ekonomi yang penting dalam
menjana ekonomi negara selepas sektor perkhidmatan dan pembuatan. Industri
pertanian juga merupakan penyumbang utama terhadap industri pembuatan makanan
dari aspek bekalan bahan mentah yang diperlukan dalam proses pengeluaran
makanan. Akibat kebergantungan sektor pembuatan makanan dari sektor pertanian,
maka jelas bahawa pertanian merupakan satu bentuk perniagaan yang akan
berterusan dan berpotensi menjana pendapatan dan peluang kepada semua dalam
usaha mewujudkan lebih ramai usahawan tani. Perkara ini telah terbukti di mana
walaupun negara kita Malaysia semakin menuju kepada negara industri, sektor
pertanian masih lagi merupakan sektor yang mempunyai kepentingan dan mempengaruhi
penjanaan ekonomi. Walaupun dalam situasi di mana sumbangan sektor pertanian
semakin berkurangan, tetapi ia masih merupakan satu-satunya sektor yang
sumbangannya agak signifikan, relevan serta mempengaruhi kestabilan ekonomi
ketika negara kita mengharungi kegawatan ekonomi yang berlaku pada tahun 1986-1987
dan 1997-1998.
Di
samping perkara-perkara yang diutarakan di atas, sektor pertanian juga banyak
menyumbang kepada peluang pekerjaan terutama dalam bidang perladangan dan
penternakan secara komersil. Peningkatan pendapatan daripada komoditi utama
pertanian seperti kelapa sawit, getah dan lada hitam banyak menyumbang kepada
munculnya peluang pekerjaan.
KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN
Berbicara
tentang kepentingan bidang pertanian, kita semua bersetuju bahawa bidang ini
merupakan satu sektor yang menyediakan hampir keseluruhan keperluan asas yang
diperlukan oleh manusia terutamanya makanan. Industri makanan yang kini menjadi
sektor ketiga terpenting selain sektor pembuatan dan perkilangan berdasarkan
kepentingannya yang menjadi satu sumber utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi
negara. Oleh itu boleh dikatakan disini bahawa kepentingan sektor pertanian
terhadap pembangunan sesebuah negara terutamanya Malaysia tidak dapat dinafikan
lagi lebih-lebih lagi kerana industri ini menghasilkan pelbagai manfaat kepada
kita. Di Malaysia, industri pertanian mula dibangun dan diperluaskan secara
lebih proaktif pada era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi menerusi
Rancangan Malaysia (ke-5) yang pada waktu itu, negara kita berjaya membangun
dengan lebih pesat seiring dengan kemajuan dalam industri pertanian. Kebanyakan
negara-negara maju dunia mula menyedari akan pentingnya fokus diberikan kepada industri
pertanian sebagai contoh negara China kini boleh berbangga dengan status negara
mereka sebagai antara pengeluar utama produk pertanian di dunia.
Andainya
kita mendalami lebih lagi mengenai industri pertanian ini, kita boleh
mengaitkan keupayaan industri pertanian dalam mengubah tahap dan kemajuan
sesebuah negara dan tebukti bahawa industri pertanian ini mendatangkan ribuan
manfaat kepada sesebuah negara yang berusaha dan memberi tumpuan dalam
memajukannya. Kepentingan sektor pertanian juga dapat membantu dalam proses
mengurangkan kadar kemiskinan kerana bidang ini lebih banyak difokuskan kepada
masyarakat luar bandar yang umumnya taraf hidup dan pendapatan mereka agak
rendah.
Salah
satu faedah utama industri pertanian adalah ia mampu meningkatkan pendapatan sesebuah
negara. Ini terbukti jelas iaitu pada tahun 2006 sahaja negara kita Malaysia
telahpun mengeksport produk pertanian bernilai (RM 71 billion) dan (RM 108 billion)
pada tahun 2008. Peningkatan pulangan yang diperolehi negara melalui industri
pertanian semakin signifikan setiap tahun dan ini adalah kerana kebanyakan negara-negara
lain hanya mementingkan kemajuan dalam aspek infrastruktur tanpa menyedari
bahawa negara mereka telah kekurangan tanah untuk memajukan sektor pertanian. Seperti
yang hampir kite semua tahu bahawa suatu ketika dahulu, negara kita Malaysia
pernah diberikan status pengeksport utama getah di rantau Asia dan diharap
usaha memaju dan memperkasakan indutri pertanian ini perlulah dijalankan secara
konsisten dan berterusan dalam usaha mengembalikan kegemilangan pertanian di
Malaysia. Sebagai contoh, salah satu produk pertanian yang popular di Malaysia
adalah teh dan kepesatan industri penanaman teh di kawasan-kawasan tanah tinggi
seperti di Cameron Highland telah berjaya menaikkan nama Malaysia sebagai salah
satu negara pengeluar teh yang berkualiti di rantau Asia.
Secara
umumnya, industri pertanian sememangnya berupaya dan mampu mempengaruhi peningkatkan
terhadap pendapatan sesebuah negara khususnya negara kita Malaysia. Industri
pertanian ini juga mampu meningkatkan peluang pekerjaan dan secara konsisten
dapat membantu negara dalam mengurangkan kadar
pengangguran yang telah lama mengganggu dan merencatkan ekonomi rakyat
Malaysia. Sebagai contoh, Kementerian Pertanian telah menjalankan projek
permulaan (EPP) yang memberi penekanan kepada tiga bidang iaitu rumpai laut,
ikan hiasan dan burung walit di mana projek tersebut mampu memberikan sebanyak
75,000 peluang pekerjaan.
Dalam
pada masa yang sama, industri pertanian juga mampu berkembang dan membangun
melalui pengenalan terhadap konsep industri desa. Ini terbukti melalui
penubuhan industri kecil sederhana (IKS) yang membimbing penduduk di luar bandar
dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan mereka. Pihak kerajaan juga telah
melancarkan program ‘Satu Daerah Satu Industri’ yang memberi penekanan terhadap
sektor pertanian di kalangan penduduk luar bandar di mana kini, lebih daripada
enam ribu rakyat Malaysia telahpun menceburi bidang pertanian sama ada secara
kecil mahupun komersil dengan bantuan dan bimbingan dari pihak Kementerian
Pertanian. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk membantu
golongan luar bandar meningkatkan pendapatan mereka melalui sektor pertanian. Selain
dapat meningkatkan taraf hidup serta pendapatan, usaha ini juga adalah bagi
mengurangkan penggantungan kepada aktiviti import terutamanya yang membabitkan
barangan makanan. Antara faktor utama galakan dari pihak kerajaan adalah kerana
pengeluaran produk makanan yang bersumber dari industri pertanian masih belum
di tahap optimum dan dalam masa yang sama kerajaan masih perlu mengimport
barangan makanan seperti gula, bawang, ubi kentang, kekacang, buah-buahan,
produk tenusu dan makanan ternakan bagi menampung keperluan negara. Sejajar
dengan itu, kerajaan di jangka akan terus memberi suntikan modal dan sokongan terhadap
pembangunan industri pertanian bagi menangani situasi ini.
Selain
kepentingan yang telah diulas di atas, industri pertanian juga sangat penting
dalam aspek sistem perhubungan yang mampu dimajukan dengan melalui bidang pertanian. Contoh paling jelas ialah ketika era
penjajahan British, rangkaian jalan raya telah dibina bagi memudahkan proses mengangkut
hasil pertanian ke pelabuhan dan bukan sekadar iainya berlaku di negara kita,
situasi ini juga berlaku pada negara-negara maju di mana kemajuan sistem
perhubungan mereka bertitik-tolak dari kegiatan pertanian. Berbeza dengan Sabah
dan Serawak di mana bentuk muka bumi negeri mereka yang berbukit bukau telah menjadi
kekangan utama dalam usaha memajukan sektor pertanian mereka maka jaringan
perhubungan mereka lebih tertumpu kepada jaringan udara di mana pesawat-pesawat
ringan digunakan untuk mengangkut hasil dari industri pertanian.
POTENSI DAN PELUANG BIDANG PERTANIAN
SEBAGAI PERNIAGAAN YANG MENGUNTUNGKAN
Selepas
kemerdekaan, Malaysia terkenal sebagai sebuah negara pertanian. Aktiviti ekonomi
negara pada ketika itu banyak bergantung kepada sektor pertanian dan
perlombongan. Menurut catatan sejarah, sumbangan sektor pertanian kepada KDNK
pada tahun 1957 ialah sebanyak 46% dan keadaan ini telah berubah pada tahun
2003 di mana sumbangan sektor pertanian kepada KDNK telah jauh menurun kepada
hanya 8.45%. Dalam pada itu negara kita kini lebih terkenal sebagai sebuah
negara pengeluar produk pembuatan di mana bilangan pekerja sektor pertanian
pada tahun 1966 yang jumlahnya 80.3% daripada keseluruhan jumlah pekerjaan
berbanding peratusan kecil iaitu 14.9%
untuk tahun 2002. Ini tidak bermakna bahawa perniagaan dalam sektor pertanian
tidak berpotensi tetapi lebih kepada kurangnya kesedaran atau minat para
usahawan mahupun bakal usahawan untuk menceburkan diri dalam perniagaan
berasaskan pertanian.
Pada
situasi masa kini, kita seharusnya bersetuju dengan wujudnya peluang dan
potensi dalam bidang pertaniaan khususnya sebagai satu bentuk perniagaan yang
menguntungkan. Oleh kerana pengeluaran bahan makanan dari sektor pertanian
perlu diberi fokus dan keutamaan, ia berpotensi menjadi satu cabang perniagaan
yang berterusan dan konsisten selaras dengan salah satu dasar pertanian negara
yang menjurus kepada pencapaian pembangunan industri makanan pada tahap yang
lebih tinggi dan global. Ini bermakna perniagaan berasaskan pertanian adalah
sangat relevan dan berpotensi besar sebagai penjana pendapatan kerana
pengeluaran secara komersil adalah sangat penting bagi memenuhi gantian import
kepada permintaan dalam negara, untuk tujuan pengeksportan dan penyumbang utama
bahan mentah kepada keperluan industri yang lain.
Pertanian
komersial adalah aktiviti pertanian yang berunsur kepada perniagaan yang
berdasarkan kepada sumber pertanian yang terdapat di dalam negara khususnya
Malaysia. Melalui aktiviti inilah mereka yang terlibat secara langsung dalam
industri pertanian berpotensi dan berpeluang menjana pendapatan. Berdasarkan
permintaan tinggi yang wujud dari industri mahupun pengguna akhir, ia membuka
peluang yang luas bagi perniagaan yang berasaskan pertanian untuk memperolehi
keuntungan. Oleh kerana sektor pertanian merupakan teras utama dalam
pembangunan ekonomi potensi untuk para usahawan yang menceburi bidang
perniagaan berasaskan pertanian sangat luas lebih-lebih lagi dengan
perkembangan yang pesat dalam industri pertanian terutamanya penggunaan
bioteknologi. Perkembangan dalam bioteknologi berupaya membuka peluang kepada
usahawan tani untuk menjana pendapatan yang lebih lumayan.
Usahawan
dalam perniagaan berasaskan pertanian ini seharusnya merancang strategi bagi
mengkomersilkan produk-produk pertanian mereka. Kewujudan potensi yang besar
ini harus diambil peluang oleh para usahawan tani dengan berusaha untuk lebih
kompetetif dengan menggunakan kaedah-kaedah moden dan teknologi yang sedia ada
khususnya dalam bidang pertanian supaya output hasil pertanian yang dikeluarkan
berkualiti disamping kuantiti yang boleh meningkatkan keuntungan. Pengeluaran
pertanian sekarang harus menepati aspek-aspek kualiti dan keselamatan kerana
menerusi cara ini pengusaha pertanian mendapat jaminan pasaran tempatan dan
luar negara, memperolehi harga yang lebih tinggi dan seterusnya memperolehi
pendapatan yang lebih baik. Sekiranya semua pangusaha mengamalkan pendekatan
ini, tidak mustahil daya saing pengeluaran pertanian negara akan berjaya
dipertingkat dan dipertahankan. Selain itu, usahawan seharusnya tidak
ketinggalan untuk mengambil kesempatan dari situasi semasa di mana sektor
pertanian mempunyai prospek yang sangat mengalakkan jika dilihat dari sudut
pertumbuhan ekonomi negara dalam ekonomi utama OECD. Keadaan ini mengakibatkan
permintaan tinggi bagi produk berkaitan pertanian dari Malaysia manakala bagi
ekonomi dalam negeri, peningkatan yang baik dalam pendapatan menjurus kepada
peningkatan permintaan terhadap produk pertanian untuk makanan mahupun bukan
makanan. Ini disokong oleh betapa sektor pertanian menjadi pembekal utama bahan
mentah bagi industri berasaskan pertanian yang menjamin potensi berterusan bagi
perniagaan berasaskan pertanian.
Potensi
besar yang wujud dalam perniagaan berasaskan pertanian seharusnya tidaka
dilepaskan oleh bakal-bakal usahawan kerana ia berupaya memberikan pulangan
yang lumayan dan konsisten. Ramai usahawan berjaya telah lahir di Malaysia
sebagai contohnya Puan Faiza Bawumi Sayed Ahmad Pengarah Urusan Syarikat Faiza
Sdn. Bhd. Yang mengusahakn perniagaan beras dan produk makanan, En. Syed Osman
bin Syed Rashtan Pengerusi Eksekutif Diversatech (M) Sdn Bhd yang mengusahakan
baja kimia dan organik, En. Mohd. Zalalnudin Latipi yang mengusahakan ternakan
ikan arowana, En. Mohamed Ismail Jaafar yang mengusahakan penanaman orkid dan
En. Johny yang mengusahakan produk berasaskan kelapa iaitu Nata de Coco.
Usahawan-usahawan tani tersebut telah berjaya menggunakan peluang dan potensi
yang ada dalam sektor pertanian untuk menjana pendapatan dan keuntungan yang konsisten
malah ada yang mencapai jutaan ringgit.
Generasi
muda dan bakal usahawan perlu mengubah tanggapan dan stigma bahawa perniagaan
berasaskan pertanian adalah tidak menguntungkan. Ini adalah kerana, bidang
perniagaan berasaskan pertanian telah pun berkembang pesat dan memacu ke arah
sains dan teknologi serta berupaya menjana ekonomi sesebuah negara. Pertanian
berpotensi tinggi di dalam aspek perniagaan dan berupaya untuk menghasilkan
pendapatan yang konsisten dan lumayan berbanding bidang lain. Jika pemikiran
dan tanggapan masyarakat tidak diarah dan dibimbing dengan fakta semasa dan
sebenar, masyarakat khususnya bakal usahawan bakal terlepas akan peluang dan
potensi yang ada di depan mata mereka. Walaupun kedengaran seperti sesuatu yang
kolot dan tidak menguntungkan, pertanian merupakan satu bentuk perniagaan yang
mempunyai masa depan yang cerah dan boleh merubah taraf hidup para
pengusahanya. Selain memberi keuntungan terhadap individu itu sendiri,
perniagaan berasaskan pertanian juga mempengaruhi iklim ekonomi negara kita. Ia
membantu kitaran ekonomi negara dengan melonjakkan pendapatan serta
mengurangkan kebergantungan kepada produk pertanian import dari luar negara.
Selain hasil pertanian dan ternakan, terdapat juga peluang dalam biodiversiti
dan herba yang berpotensi untuk diterokai sepenuhnya sebagai suatu bidang
perniagaan dalam aspek pertanian.
CABARAN/HALANGAN BIDANG PERNIAGAAN
BERASASKAN PERTANIAN
Setiap
perkara yang dilakukan pasti ada cabaran dan seperti bidang lain, bidang
pertanian juga tidak akan terlepas dari segala cabaran yang mungkin wujud.
Perniagaan berasaskan pertanian khususnya banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor
yang hampir kesemua cabang perniagaan terpaksa harungi.
Beberapa
jenis masalah dikenalpasti sering dihadapi oleh sektor pertanian terutamanya
sub-sektor, getah, padi, perikanan dan pekebun kecil. Kebanyakan cabaran dan
masalah yang dihadapi dalam industri pertanian kini berkisar kepada tenaga
buruh, tanah, pengurangan dan kepupusan sumber pertanian, kekurangan modal dan
tahap pelaburan yang secara relatifnya rendah, pengurusan dan perancangan yang
kurang cekap, keupayaan pengeluaran yang tidak mencapai tahap yang diperlukan,
kos pengeluaran yang agak tinggi, harga komoditi yang berada pada tahap yang
rendah serta kekurangan ilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan dan pertanian.
Cabaran
terhadap masalah tenaga buruh telah menjadi satu kekangan utama dalam sektor
pertanian dan ia bukanlah sesuatu yang janggal kerana setiap industri di
Malaysia mengalami masalah yang serupa. Faktor inilah yang mendorong kemasukan
buruh dari negara luar bagi mengatasi keperluan industri. Walaubagaimanapun
sekiranya anak tempatan lebih berfikiran positif terhadap industri pertanian
selain keadaan sosioekonomi yang rendah, cabaran mendapatkan tenaga buruh ini
dapat dikurangkan. Pada masa yang sama juga, kekurangan minat dari kalangan
masyarakat tempatan untuk membina kerjaya dalam bidang pertanian adalah juga
dipengaruhi oleh tawaran pendapatan yang lebih baik dari bidang-bidang lain.
Imej dan kemudahan sosial yang lebih baik di bandar juga antara faktor yang
menjadi punca permasalahan tenaga kerja kerana lokasi perniagaan berasaskan
pertanian berada di luar bandar. Peluang untuk warga tempatan meperbaiki taraf
hidup dan ekonomi juga dikatakan lebih cerah dalam bidang lain di mana bidang
pertanian sering dikaitkan dengan tidak konsisten. Selain dari faktor yang
disenaraikan, tahap pendidikan juga memainkan peranan kerana dengan kelulusan
yang warga tempatan miliki mendorong mereka untuk bekerja selain dari bidang
pertanian. Masyarakat tempatan harus diberi lebih kesedaran dalam memperbaiki
kelompongan yang wujud dalam sektor pertanian. Mereka perlu diberi bimbingan
agar lebih ramai masyarakat tempatan melibatkan diri dalam perniagaan
berasaskan pertanian.
Bagi
mengatasi cabaran dalam mendapatkan tenaga buruh, dalam jangka pendek,
penggunaan buruh asing tidak dapat dielakkan dan bagi jangka masa panjang pula,
permasalahan ini cuba diatasi dengan penggunaan jentera serta teknologi moden
secara intensif. Ketika ini, sebahagian besar dari aktiviti yang terlibat dalam
sektor pertanian boleh dilaksanakan dengan penggunaan jentera dan teknologi
moden sebagai contoh dalam usaha menjimatkan tenaga buruh dalam pengeluaran
padi, mesin jentuai boleh digunakan. Penyelidikan juga banyak dilakukan oleh
jabatan-jabatan seperti FAMA dan MARDI dalam usaha menghasilkan mesin dan
jentera moden dan terkini untuk meminimumkan kos dan mempertingkatkan
pengeluaran. Kita semua sedia maklum bahawa perbelanjaan yang dilabur oleh pihak
kerajaan untuk memajukan sektor pertanian adalah besar tetapi pendapatan yang
diterima oleh golongan sasar masih lagi ditahap rendah. Seharusnya pendekatan
baru dilaksanakan untuk mengatasi permasalahan tersebut. Fokus utama boleh
diberi kepada industri padi dan beras serta Dasar Pengeluaran Makanan
Strategik, ternakan dan perikanan laut dalam. Kaedah dan teknik terkini dan
moden juga perlu dikenal pasti untuk memastikan bahawa usahawan usahawan tani
dapat meningkatkan pendapatan dengan lebih baik dan konsisten selain mengatasi
masalah kekurangan tenaga buruh.
Satu
lagi cabaran yang dihadapi dalam sektor pertanian ini adalah berkaitan sumber tanah.
Dalam Rancangan Malaysia Keenam, Semenanjung Malaysia semakin kehilangan tanah
baru yang sesuai untuk digunapakai dalam pembangunan pertanian. Sehubungan itu,
bermula dari Rancangan Malaysia Keenam, FELDA tidak lagi memajukan tanah baru
di Semenanjung Malaysia. Selain itu juga, terdapat penurunan terhadap keluasan
tanah pertanian yang berpunca dari penukaran jenis tanaman kepada jenis yang
lain dan juga penukaran penggunaan tanah pertanian kepada tanah komersil dan
penempatan. Bagi pekebun kecil pula, saiz tanah yang diusahakan adalah terlalu
kecil dan tidak ekonomik dalam keupayaan untuk menjana keuntungan. Bagi
mengatasi cabaran terhadap masalah tanah yang terbiar pula, pihak swasta juga
perlu memainkan peranan utama selari dengan objektif syarikat swasta yang lebih
berorientasikan keuntungan serta mempunyai kemudahan-kemudahan yang mencukupi
untuk proses memulihkan tanah-tanah yang terbiar. Pemilik-pemilik tanah pula
perlulah memberi kerjasama dan bersedia untuk melepaskan tanah mereka untuk
diusahakan dan dibangunkan.
Berkaitan
dengan cabaran terhadap kepupusan tanah yang boleh dibangunkan bagi tujuan pertanian
pula, penggunaan tanah perlu dibangunkan secara intensif dan optimum. Sebagai
contoh, para penyelidik juga perlu memainkan peranan yang lebih dalam usaha
menghasilkan klon yang boleh ditanam dalam kawasan kecil dengan lebih padat
tanpa menjejaskan pengeluaran yang tinggi dan berkualiti. Pelaburan juga boleh
difokuskan ke negeri Sabah dan Sarawak yang berpotensi besar dalam bidang
pertanian dengan kewujudan tanah yang masih banyak dan boleh dibangunkan untuk
tujuan pertanian. Begitu juga dengan subsektor perikanan yang mengalami cabaran
dalam kepupusan sumber dan keperluan terhadap modal yang besar. Kemudahan
kredit yang lebih fleksibel harus ditawarkan kepada usahawan-usahawan tani
khususnya dalam bidang perikanan dan diurus secara berkumpulan dengan cekap,
produktif dan amanah kerana perikanan agak sukar dijalankan secara individu. Latihan
dan kursus yang dapat memantapkan pengetahuan serta kemahiran dalam perniagaan
pertanian khususnya perikanan harus diberi kepada usahawan dan bakal usahawan
di dalam bidang tersebut. Memandangkan faktor utama kepupusan sumber adalah
pencerobohan pukat tunda dan pencemaran laut, penguatkuasaan juga harus diberi
penekanan yang lebih tinggi.
Manakala
cabaran bagi pekebun dan petani berskala kecil adalah lebih kepada permasalahan
tanah yang agak kecil untuk memaksimakan pengeluaran serta kekangan terhadap
tenaga buruh yang berpendidikan serta tidak cekap. Masalah ini boleh diatasi
dengan penggabungan pekebun kecil kepada satu kumpulan yang lebih besar tetapi
harus diuruskan secara efisien oleh seorang pengurus yang terlatih, cekap dan
amanah. Pengurus dan tenaga buruh diupah dan tanah-tanah yang digunakan adalah
pelaburan yang dibayar keuntungannya kepada tuan punya tanah tersebut dan
sebaiknya pengurusan gabungan ini adalah diluar dari institusi kerajaan yang seharusnya
hanya berperanan sebagai pemberi nasihat dan menyalurkan bantuan yang sewajarnya.
Terdapat
pelbagai lagi cabaran-cabaran yang dihadapai oleh usahawan tani yang perlu
diberi penekanan dan diberi bantuan sewajarnya dalam usaha para usahawan dalam
bidang pertanian untuk terus proaktif dan berdaya saing dengan
industri-industri lain di Malaysia. Cabaran seperti bencana alam yang sukar
untuk diatasi contohnya boleh diberi fokus yang sepatutnya dalam memastikan
kerugian terhadap kejadian bencana alam dapat diminimumkan. Cabaran dari segi rangkaian
antara usahawan dan pembeli serta peraih mereka yang perlu juga diberi
penekanan agar tiada pihak yang mengambil kesempatan hingga mengaut keuntungan
yang lebih sedangkan usahawan tani hanya mendapat keuntungan yang minimum. Polisi
pertanian negara di alaf baru ini banyak dipengaruhi oleh persekitaran ekonomi
domestik dan antarabangsa yang sangat mencabar. Kini, ekonomi negara sering
berada dalam proses mengadaptasi dengan suasana atau situasi kejutan nilai wang
yang semakin menurun secara drastik. Akibat dari situasi ini, kesan negatifnya
memberi impak yang signifikan kepada industri dan secara langsung ia memberi
kesan kepada sektor pertanian dalam peningkatan kos operasi. Kos yang semakin
meningkat kepada elemen utama dalam sektor pertanian seperti kos bahan mentah,
baja serta jentera pertanian yang diimport berupaya menggugat kecekapan
pengeluaran pertanian negara.
SOKONGAN DAN BANTUAN KERAJAAN
Berbincang
mengenai sokongan dan bantuan dari kerajaan kita tidak terlepas dari
dasar-dasar yang perkenalkan oleh kerajaan Malaysia sejak dari dahulu. Salah
satu dasar yang berkait rapat dengan pertanian adalah Dasar Pertanian negara
yang telah dilancarkan pada 12 Januari 1984. Dasar ini menumpukan usaha
kerajaan Malaysia dalam usaha membangunkan sektor pertanian secara holistik. Ia
juga telah berupaya menyediakan peluang pekerjaan, membekal sumber bahan mentah
bagi sektor perindustrian, menyediakan sumber makanan dan meningkatkan eksport
negara. Antara matlamat utama Dasar Pertanian Negara dilaksanakan di Malaysia
ialah untuk memaksimakan pendapatan sektor pertanian melalui penggemblengan
sumber negara yang cekap dan berkesan. Selain itu ia juga penumpuan kepada
usaha memaju dan mempertingkatkan hasil dan mutu komoditi-komoditi yang
berpotensi besar untuk dieksport atau menjadi bahan gantian import serta
komoditi-komoditi terpilih untuk bahan makanan dan perindustrian adalah amat
perlu. Fokus yang diberi tumpuan oleh Dasar Pertanian Negara ini dapat
mamaksimumkan pendapatan usahawan-usahawan tani melalui peningkatan keupayaan
pengeluaran dan sejajar dengan usaha mengurangkan kadar kemiskinan dan
memperbaiki kualiti hidup rakyat. Dasar ini juga menumpukan aspek peningkatan
pengeluaran makanan tempatan yang lebih fokus kepada pengeluaran makanan utama
yang mempunyai kelebihan bersaing dari segi kos, mewujudkan zon bagi
pengeluaran makanan dan menyediakan galakan, pinjaman dan infrastruktur bagi
pengeluaran makanan.
Terdapat
pelbagai agensi kerajaan yang memainkan peranan dalam usaha membantu dan
membimbing usahawan-usahawan tani dalam usaha mengaktifkan sektor pertanian
dalam penjanaan ekonomi dan keuntungan. Selain itu juga galakan dari kerajaan
penglibatan sektor swasta juga merupakan inisiatif yang banyak membantu dan mempengaruhi
kemajuan dan pembangunan perniagaan berasaskan pertanian. Ini termasuklah
penyedian garis panduan pelaburan asing dalam sektor pertanian. Senarai
aktiviti yang digalakkan akan disemak dari masa ke semasa sejajar dengan
penumpuan terhadap pembangunan pertanian di Malaysia. Penubuhan
institusi-institusi pembangunan kawasan, penyatuan dan pemulihan tanah seperti
FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi-agensi pembangunan wilayah telah mempergiatkan
lagi pembukaan tanah baru untuk tanaman industri di samping mencapai matlamat
membasmi kemiskinan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sementara itu, penubuhan
agensi-agensi khusus seperti FAMA(1965), Bank Pertanian Malaysia (BPM) (1969),
MARDI (1969), Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) (1971), Lembaga Kemajuan Ikan
Malaysia (LKIM) (1971), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) (1970), Lembaga
Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) (1972), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)
(1973) dan beberapa agensi yang lain telah menyediakan kemudahan pemasaran,
penyelidikan, kredit dan khidmat sokongan kepada kumpulan sasar dan
mempergiatkan lagi pembangunan sektor pertanian.
Agensi
kerajaan juga bertanggungjawab dengan usahasama syarikat swasta dalam
membangunkan tanah-tanah baru untuk tujuan pertanian. Usahasama yang dijalankan
ini dapat memacu dengan lebih agresif dan kompeten lagi dalam memastikan
industri pertanian semakin maju dan bersifat global. Kerajaan telah
mengilhamkan beberapa tranformasi yang menjurus kepada pembangunan yang positif
terhadap bidang pertanian. Antaranya transformasi ladang di mana
pekebun-pekebun kecil disatu dan digabungkan bagi meningkatkan dan
mengoptimumkan pengeluaran agar mendapat pulangan yang lebih baik dikalangan
pekebun kecil. Transformasi tenaga buruh kepada penggunaan mesin dan jentera
yang lebih moden. Kerajaan telah dengan inisiatifnya memberi bantuan dari aspek
pendidikan dan latihan terhadap teknologi pertanian yang lebih moden dan berupaya
meningkatkan pengeluaran tanpa membebankan kos terutamanya tenaga buruh. Ini
juga termasuk program seperti belia tani bagi melahirkan usahawan-usahawan yang
berdaya saing dalam bidang pertanian.
Pihak
kerajaan juga menyediakan insentif istimewa bagi projek pengeluaran makanan
seperti yang diperuntukan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi mengalakkan
lagi kerancakan sektor pertanian dikalangan syarikat-syarikat swasta. Di bawah
insentif ini, syarikat-syarikat yang mengusahakan atau melabur dalam projek
pengeluaran makanan layak untuk mendapatkan insentif khas selain daripada
insentif-insentif lain sepert taraf perintis, insentif untuk menggalakkan
eksport dan sebagainya. Pusat Latihan Pertanian Negara pula dibentuk oleh
kerajaan bagi merancang, menyelaras dan menilai program latihan kemahiran
selaras dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bagi melahirkan
pekerja dan usahawan tani yang berpengetahuan dan berkemahiran. Selain pusat
latihan Kementerian Pertanian juga mebina Kolej Pertanian dan menaik taraf
institusi sedia ada bagi memberikan latihan dan kemahiran yang sewajarnya
kepada golongan usahawan tani.
Di
samping itu, sebagai usaha untuk mempertingkatkan lagi sokongan kepada sektor
pertanian khususnya para usahawan tani,kerajaan juga berusaha meningkatkan
kemudahan infrastruktur seperti menambah baik kemudahan-kemudahan saliran dan
pengairan serta memperbaiki sistem perhubungan dari masa ke semasa. Kemudahan
pemasaran seperti pusat pengumpulan dan pengedaran produk pertanian turut
disediakan oleh pihak kerajaan. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan
keberkesanan rangkaian pemasaran produk berasaskan pertanian dari sumber ke
pasaran. Justeru itu, walaupun peruntukan yang besar diperlukan oleh sektor
pertanian, kedudukan dan sumbangan sektor ini terhadap perkembangan ekonomi
negara tidak dapat disangkal. Oleh yang demikian, mengekal dan memeliharanya
merupakan langkah yang sangat relevan dan komited oleh pihak kerajaan di
samping dapat memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi dengan tahap
keperluan rakyat Malaysia dan pasaran antarabangsa.
KESIMPULAN
Kesimpulannya,
sektor pertanian mempunyai asas yang kukuh dan potensi yang baik serta prospek
yang cerah untuk dimajukan dan dibangunkan dengan lebih proaktif. Kita harus
menggunakan segala kepakaran yang ada untuk memajukan bidang ini demi kerancakan
dan kestabilan ekonomi negara. Rakyat Malaysia pertu dibimbing dan di ubah
mentalitinya agar lebih berfikiran terbuka dan positif terhadap potensi sektor
ini dalam menjana pendapatan yang lumayan. Sewajarnya juga kita harus menjadikan
kejayaan negara-negara maju khususnya negara Jepun yang telah berjaya menguasai
sektor perindustrian tetapi dalam masa yang sama terus membangunkan industri
pertanian untuk kesejahteraan dan kesinambungan hidup rakyatnya. Sektor
pertanian dan khususnya perniagaan berasaskan pertanian harus diberi anjakan
paradigma dan transformasi yang sewajarnya supaya sektor ini lebih moden,
dinamik dan paling utama berdaya saing.
Dari
segi perkembangan pada peringkat global, sektor pertanian sebenarnya mengalami
pelbagai perubahan dan permodenan drastik. Sehubungan itu kualiti hasil dan
produk perniagaan berasaskan pertanian harus lah dipertingkatkan kualitinya
agar dapat terus bersaing sehingga ke pasaran antarabangsa. Para usahawan tani
perlu melengkapkan diri dan perniagaan meraka dengan segala maklumat, ilmu
mahupun infrastruktur yang terkini dan moden bagi memperolehi ouput yang
optimum dan signifikan. Dengan menggunakan pengetahuan bioteknologi, produk
pertanian boleh dipertingkatkan dari segi kualiti dan ketahananannya. Contohnya,
manipulasi genetik boleh dilakukan untuk mengelakkan tanaman dimusnahkan
serangga perosak. Selain itu, produk pertanian juga boleh diimprovasikan dengan
kaedah biologi agar mempunyai ketahanan yang lebih lama dan tidak mudah rosak.
Biarpun penggunaan bioteknologi sering mendapat kritikan khususnya terhadap
produk makanan namun kadar permintaan terhadap produk berkenaan terus
meningkat. Jadi, seharusnya masyarakat Malaysia harus memberi peluang dan ruang
untuk mereka menceburi bidang pertaniaan sebagai satu perniagaan dan mebantu
dalam menjana ekonomi individu, keluarga dan negara Malaysia.
Mahani Abu Bakar, Industri Tani Malaysia -
Dasar Kerajaan Dan Sektor Pertanian, Pustaka Segar, Kuala Lumpur, 2008.
Mahani Abu Bakar, Industri Tani Malaysia -
Pembangunan Pertanian, Pustaka Segar, Kuala Lumpur, 2008.
Mahani Abu Bakar, Industri Tani Malaysia -
Pertanian Komersial, Pustaka Segar, Kuala Lumpur, 2008.
Mahani Abu Bakar, Industri Tani Malaysia – Penggunaan
Teknologi Moden, Pustaka Segar, Kuala Lumpur, 2008.
Terbaik Zul... :)
ReplyDelete