Wednesday, 4 January 2017

PENGGUNAAN E - DAGANG OLEH USAHAWAN - USAHAWAN DI MALAYSIA


DINESH A/L SELVANATHAN (241936)

PENDAHULUAN

Perkembangan e-dagang bermula sejak kemunculan internet pada tahun 1969 seterusnya berkembang dan wujudnya E-dagang ( E-commerce ). Internet lahir pada tahun 1969 di Amerika iaitu kelompok peneliti berhubungan dengan empat komputer di UCLA, Stanford Research Institut, Universiti Utah dan Universiti California di Santa Barbara. Mereka telah mencipta sebuah jaringan untuk berkomunikasi di antara satu sama lain yang di kenali istilah ARPAnet ( Advanced Research Project Agency ) yang mana merupakan salah satu bahagian keamanan Negara Amerika Syarikat.
Perdagangan Elektronik, juga dipanggil E-dagang atau dalam bahasa Inggerisnya Electronic Commerce (EC) adalah sebuah sistem perniagaan dan jual beli yang banyak menggunakan kemudahan teknologi maklumat, terutama telekomunikasi canggih sehingga dapat melindungi dan memuaskan pengguna-penggunanya iaitu yang terdiri daripada penjual, pembeli dan pihak-pihak yang ketiga seperti bank, syarikat kewangan, syarikat kad kredit, pengeluar sijil pengesahan digital dan lain-lain lagi.  Kebelakangan ini, ianya banyak menggunakan Internet khususnya Web untuk  mengadakan satu rangkaian yang menyatukan pelanggan, penjual dan pihak-pihak ketiga dalam satu persekitaran elektronik yang selamat untuk semua pihak dan boleh dipercayai. Dengan E-dagang, sesebuah syarikat atau individu boleh melakukan transaksi jual dan beli dari dan di mana sahaja di dunia ini. Prasyarat terpenting untuk menjalankan perniagaan dalam suasana yang menggunakan teknologi E-Dagang ini ialah pemilikan kelengkapan IT yang sesuai dan prasarana telekomunikasi yang membolehkan kita mengkases Internet.  Ini sudah tentunya bermula dengan sebuah komputer, modem dan talian telefon.

Jenis-jenis E-dagang
E-dagang boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu:-
(i)     e-dagang di antara perniagaan dengan perniagaan melibatkan transaksi di antara dua atau lebih syarikat di mana satu pihak merupakan syarikat pembekal kepada satu pihak yang lain
(ii) e-dagang di antara perniagaan dengan pengguna pula melibatkan transaksi di antara penjual    
     produk akhir dengan pengguna.

E-dagang menggunakan Internet untuk mewujudkan satu rangkaian yang menyatukan pelanggan, penjual dan pihak ketiga seperti bank, syarikat kewangan, syarikat kad kredit dan sebagainya dalam satu persekitaran elektronik yang selamat untuk semua pihak. Dengan adanya e-dagang, sesebuah syarikat atau individu boleh melakukan transaksi jual beli di mana sahaja di dunia ini. Ianya kini digunakan secara meluas terutamanya di negara-negara barat. Ianya juga digunakan oleh syarikat antarabangsa dan pakar pasaran sebagai satu sektor perniagaan dan pemasaran yang tidak boleh diabaikan.

Internet pula boleh menjadi salah sebuah lokasi perniagaan utama yang menjalankan urusan jual beli barangan dan perkhidmatan dalam dua cara iaitu yang pertama, memasarkan serta menjual barangan dan perkhidmatan dan menerima pembayaran elektronik. Cara yang kedua ialah mewujudkan rangkaian korporat persendirian yang dipanggil Intranet yang membolehkan pengguna membeli barangan di rumah atau tempat perniagaan. Secara umumnya e-dagang adalah model perniagaan yang mana segala aktiviti perniagaan dijalankan sepenuhnya melalui penggunaan internet sebagai mediumnya. Aktiviti e-dagang merangkumi penggunaan laman web bagi tujuan penjualan produk atau perkhidmatan kepada pelanggan, melakukan pemasaran menerima bayaran melalui internet dan pengurusan khidmat pelangan secara online. terdapat dua jenis perniagaan yang boleh di jalankan melalui medium internet iaitu yang berasaskan produk fizikal, produk digital dan produk perkhidmatan.


(i)   SEJARAH DAN EVOLUSI E-DAGANG
E-Dagang merupakan satu metodologi perniagaan yang menggunakan perantaraan elektronik untuk melakukan keseluruhan transaksi perniagaan. Pembekal dan pelanggan bertemu dalam suasana virtual atau maya untuk melakukan urusniaga dengan menggunakan teknologi Internet, digital dan lain-lain (Edward John, 2013). Ini bermakna E-dagang melupuskan sempadan dan masa dan juga pelanggan dapat membeli-belah pada bila-bila masa sahaja dan di mana jua menerusi akses kepada Internet. Kaedah ini amat selesa bagi mereka yang tidak mempunyai masa untuk pergi membeli-belah atau tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas atau berbaris di kaunter.
Pada tahun 1997 E-Perniagaan diistilahkan oleh satu badan syarikat iaitu Syarikat International Business Machines (IBM) telah menjadi popular kepada pengguna E-Perniagaan (Chaffey, 2007; Schneider, 2009). E-Perniagaan dikenalkan sebagai tranformasi proses perniagaan menerusi penggunaan teknologi Internet. Selain itu, dikenali sebagai aktiviti jenis perniagaan khusus yang dibentuk oleh pelbagai pengunaan Teknologi Maklumat (IT) Grefen (2010). Ia menerangkan bahawa penggunaan menerusi IT ini menjadikan faktor yang dapat dibezakan antara E-Perniagaan dengan perniagaan secara tradisional. E-Perniagaan juga dikenali sebagai paltfom ruang untuk perniagaan yang sangat luas dikenali sebagai E-Perniagaan yang mempercepatkan dan memudahkan proses kitaran perniagaan yang melibatkan urusan penempahan barangan dan perkhidmatan daripada pengguna mahupun jual dan beli.
E-dagang banyak mecerminkan aktiviti seperti pertukaran dengan perningaan yang lain dan proses internal atau dalaman yang digunakan oleh sesebuah badan syarikat atau organisasi untuk menyokong urusan pembelian, penjualan mahupun penyewaan perancangan dan juga aktiviti-aktiviti yang boleh melibatkan pengunaan laman sesawang.
E-dagang dan E-perniagaan banyak persamaan dalam pelbagai aspek antara saru sama lain. Malah kedua-dua kategori tersebut tidak menerangkan khusus serta pengertian yang tepat berkenaan dengan kedua-dua istilah tersebut dalam literature yang boleh dipercayai. E-dagang atau pun E-perniagaan mengandungi maksud yang luas merangkumi pelbagai jenis transaksi elektornik sebagai contoh Perniagaan kepada Perniagaan (B2B). Perniagaan kepada Pengguna (B2C), Pengguna kepada Pengguna (C2C), mobile commerce (m-c),dan lain-lain rangkaian jaringan sosial yang diperkenalkan. Ia melibatkan hubungan atara komunikasi sesame dengan organisasi yang lain serta hubungan dengan penguna.
Faktor asas terhadap sistem E-dagang ini adalah internet. Penggunaan internet telah merevolusikan aktiviti perdagangan untuk menjadikan aktiviti yang terpenting pada masa kini dan mengutamakan bagi perkembangan ekonomi yang pesat dan maju. Kewujudan E-dagang melicinkan perjalanan aktiviti perniagaan dan transaksi kewangan tanpa had masa dan sempadan. Segalanya perhubungan dan penyebaran informasi perdagangan menjadikan titik penting dalam pengusaha mengembangkan dan memperluaskan penggunaan E-dagang di serata dunia.

(ii) Kepentingan E-dagang dalam perniagaan
Kemunculan e-dagang menyebabkan kebanyakan perniagaan beralih kepada konsep teknologi maya. Rata-rata usahawan beranggapan konsep e-dagang dapat membantu dalam mengembangkan perniagaan kerana internet dapat diakses dimana-mana sahaja. Penggunaan internet dapat membantu orang ramai dalam mendapatkan maklumat mengenai sesuatu produk dan perkhidmatan.
Kemunculan e-dagang yang kini mendapat perhatian orang ramai harus diberi perhatian dan dimanfaatkan sepenuh oleh usahawan-usahawan di Malaysia kerana ia memberikan pulangan yang menguntungkan. Antara kepentingan-kepentingan e-dagang dalam perniagaan adalah seperti berikut:
·         Transaksi yang dijalankan melalui cara ini sebenarnya banyak membuka peluang kepada para peniaga serta pelanggan untuk menjalankan perniagaan serta mendapatkan produk     yang mereka ingini dengan lebih cepat serta efektif.
·         Sistem ini juga dilihat sebagai salah satu dari jalan penyelesaian kepada beberapa masalah yang dihadapi oleh firma-firma perniagaan di masa lalu. Kewujudan sistem ekonomi seumpama ini kemungkinan akan memberi kesan secara serius kepada penggunaan kertas, wang serta cek di masa-masa akan datang.
·         Penggunaan e-dagang dapat membantu usahawan mengembangkan perniagaan. Globalisasi yang berlaku pada hari ini menyebabkan wujudnya jaringan dunia tanpa sempadan dan semua maklumat berkaitan dengan perniagaan dapat diakses dengan mudah.
·         Penggunaan e-dagang dapat meningkatkan produktiviti para usahawan dimana mereka dapat berkongsi dan menyebarkan maklumat dengan cepat dan pantas melalui penggunaan medium seperti blog, emel dan medium-medium yang lain.
·         Dengan penggunaan e-dagang para usahawan dapat memperoleh maklumat dan maklum balas daripada pengguna dengan lebih tepat dan cepat. Ini dapat meningkatkan lagi mutu sesuatu produk atau perkhidmatan yang dijalankan.
·         Dengan menggunakan perkhidmatan e-dagang, syarikat tidak perlu memiliki saiz firma yang besar bagi meyakinkan pengguna malah dengan adanya rangkaian perkhidmatan talian yang kukuh dan berkesan ia boleh meyakinkan para pengguna. Secara tidak langsung, perkembangan teknologi telah menyebabkan kehidupan manusia bergerak ke arah yang lebih kompleks dan dinamik.
·         Dengan bantuan e-dagang, proses perhubungan dan komunikasi menjadi lebih murah, cepat dan efisien.
·         Penggunaan e-dagang adalah berkonsepkan mesra pelanggan, dimana ianya menyediakan platform pencarian produk yang lebih mudah, padanan dan kenyataan spesifikasi produk yang boleh mengurangkan kos pelanggan, sistem pembayaran elektronik yang selamat, kaedah penghantaran produk yang terjamin serta reaksi yang pantas ke atas pertanyaan pelanggan.
·         Dengan adanya e-dagang, pelanggan lebih bebas dalam membuat keputusan pembelian kerana mereka mempunyai banyak pilihan dari pelbagai syarikat lain.
·         Penggunaan e-dagang dapat membantu para usahawan membekalkan lebih banyak maklumat penting kepada syarikat untuk mengenalpasti dan membuat inovasi dalam sesuatu produk.

(iii) Tahap penggunaan e-dagang di Malaysia
Penggunaan e-dagang telah berkembang pesat di Malaysia dan menjadi perhatian, terutama dalam industri yang melibatkan perdagangan, perniagaan, pelaburan, perbankan, dan sebagainya. Sejak diperkenalkan telah mengubah gaya hidup nyata kepada aplikasi atas talian pengguna. Sehingga akhir tahun 2010 sahaja purata penduduk Malaysia yang menggunakan  aplikasi internet berada pada 67 peratus daripada populasi penduduk (SKMM 2010). Kepesatan penembusan jalur lebar ini telah membolehkan bank komersial tempatan memperkenalkan perbankan elektronik di Malaysia. Perbankan elektronik walaupun masih diperingkat awalan di Malaysia namun kemudahan ini adalah dalam proses perkembangan seiring dengan kepesatan penggunaan E-dagang.

 Menurut SKMM aktiviti usahawan atau masyarakat Malaysia melibatkan e-dagang dalam industri contohnya kewangan dan perkhidmatan masing-masing hanya meliputi 27.2% dan 19.6% dari jumlah keseluruhan aspek tinjaun penggunaan internet. Pada tahun 2010 pula, SKMM mendapati bahawa hanya 33.6% daripada keseluruhan responden pernah melakukan aktiviti pembelian secara online. Walaupun begitu, penggunaan e-dagang di Malaysia menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan saban tahun. Bagi tujuan tinjauan berkenaan, sebanyak 4,925 pengguna internet ditemuduga dan ditanyakan pelbagai soalan untuk mengetahui corak penggunaan internet di Malaysia dan menyediakan data lengkap sebagai rujukan pada masa depan. Kajian juga mendapati pengguna internet majoritinya adalah lelaki iaitu 50.2 peratus manakala selebihnya iaitu 49.8 adalah wanita, (Berita Harian). Sementara itu, SME Corp berkata hingga 30 April 2014 sejumlah 26,285 terminal e-pembayaran bagi “dongle transaksi tanpa tunai” telah digunakan ini dapat dilihat 18,206 perusahaan kecil di Malaysia mendapat manfaatnya. Sehubungan dengan itu, perusahaan industri-industri kecil dan sederhana adalah penyumbang kepada ekonomi negara Malaysia ketika ini dirujuk daripada Banci Ekonomi 2011, sebanyak 97.3 peratus atau 645,136 daripada keseluruhan pertubuhan syarikat di Malaysia.

Melihat kepada kesungguhan dan konsisten dalam membangunkan dan memperkembangkan ICT di Malaysia, iannya dapat dilihat menerusi percaturan dan perancangan rancangan Malaysia ke-9 dimana menerusi RMK ke-9 pula sebanyak RM12.89 bilion (unit perancangan Ekonomi, 2006). Sehubungan dengan itu, MSC merupakan projek perintis dalam menyelaraskan keseluruhan perkembangan ICT yang telah direncanakan di seluruh negara bagi menuju ke arah era maklumat  (infomation age) dan menjadi negara maju tahun 2020.

Merujuk kepada EIU(2010), negara Malaysia telah menduduki tangga yang ke-36 berbanding dengan tahun yang sebelumnya iaitu berada pada kedudukan yang ke-38 berdasarkan kepada skor yang telah diberikan menerusi kriteria yang telah ditetapkan. Dalam kajian tersebut sebanyak 70 buah negara telah dipilih dan dinilai berdasarkan kepada 6 kriteria utama iaitu menerima guna pengguna dan perniagaan (consumer and business adoption), infrastruktur penyambungan dan teknologi (connectivity and technology infrastructure), persekitaran perniagaan (business environment), persekitaran sosial dan budaya (social and cultural environment), visi dan polisi kerajaan (goverment policy and vision) dan persekitaran undang-undang (legal environment) (EUI, 2010).

(iv) Cabaran/halangan penggunaan e-dagang
Dalam perlaksanaan sesebuah teknologi sememangnya memiliki cabaran dan rintangan dalam mencapai kejayaan atau sebaliknya terutama apabila ianya melibatkan proses menerima guna sesebuah teknologi ke dalam urusan kerja dan aktiviti harian masyarakat setempat. Kajian juga mendapati, pengguna internet turut berasa bimbang dengan keselamatan sistem rangkaian komputer mereka, terutama ketika melayari laman web. Antara kebimbangan mereka ialah kecurian identiti, spam dan virus sama ada virus cecacing atau trojan. Dalam usaha ini juga tidak semua sesebuah teknologi yang diperkenalkan disambut baik oleh sesetangah masyarakat. Terdapat sebahagian yang berminat dan menggunakan perkhidmatan tersebut atas urusan kerja dan aktiviti harian. Senario ini membuatkan negara yang sedang membangun mengalami perkembangan yang rendah. Hal ini jelas membuktikan bahawa e-dagang masih lagi di peringkat awal perkembangan dan cabaran ini semestinya akan membantutkan perkembangan e-dagang pada masa hadapan. Sekiranya pihak organisasi kurang mengambil inisiatif terhadap perkembangan sistem e-dagang ini, maka perkembangan dan penggunaan e-dagang juga akan menjadi perlahan di dalam negara Malaysia.
E-dagang menggunakan sepenuhnya kemudahan teknologi maklumat (IT) terutama telekomunikasi canggih yang dapat melindungi dan memuaskan pengguna-penggunanya. Namun begitu, masih terdapat pelbagai masalah sama ada di pihak pengguna, mahupun pengusaha atau peniaga. Di antara cabaran atau halangan terhadap penggunaan e-dagang adalah :-

4.1 Budaya Masyarakat Kurang Yakin Terhadap Sistem Keselamatan E-Dagang
Masalah budaya dan kekurangan pendedahan kepada Internet merupakan antara masalah yang menjadi penghalang kepada kejayaan e-dagang di kalangan rakyat di Negara ini. Walaupun Negara kita semakin maju, namun masih terdapat rakyatnya yang tidak mahir dalam penggunaan komputer dan Internet khususnya rakyat yang tinggal di kawasan luar Bandar. Disamping itu, budaya masyarakat di Malaysia lebih selesa berinteraksi atau bersemuka dengan penjualnya semasa membeli sesuatu barangan.

Hasil kajian yang telah dijalankan oleh SKMM (2010) mendapati, pengguna lebih gemar untuk membeli di kedai atau pasaraya iaitu sebanyak 66.3 peratus berbanding membeli di Internet atau secara on-line. Ini kerana pengguna masih lagi berasa kurang yakin dan risau terhadap sistem keselamatan e-dagang. Keadaan ini tentunya berlawanan dengan konsep pembelian menerusi perniagaan e-dagang. Melalui e-dagang segala urusan penjualan dan pembelian dilakukan secara maya di mana tanpa bersemuka atau mengenali antara satu sama lain, urusan penjualan dan pembelian berlaku.


4.2 Kekurangan Pengetahuan Dalam Konsep E-Dagang
 Masalah seterusnya ialah kekurangan pengetahuan dan pendedahan di kalangan pengguna tempatan berkaitan dengan konsep e-dagang, lebih-lebih lagi di kawasan pendalaman. Biarpun kemudahan Internet telah lama wujud, namun sebahagian daripada pengguna tempatan masih tidak memahami konsep e-dagang dan cara ia berfungsi. E-dagang bukan satu revolusi tetapi ia merupakan satu evolusi. Walaubagaimanapun, kebanyakan pengguna internet dan vendor gagal dalam mempromosikan bahawa konsep e-dagang hanya merupakan satu pengembangan kaedah jualan tradisi kepada jualan elektronik dalam proses perniagaan.

4.3 Masalah Penipuan
 Penipuan lebih mudah berlaku dalam perniagaan melalui Internet. Ini disebabkan tiada peluang berinteraksi secara terus antara pihak pembeli dan peniaga. Kegagalan transaksi perniagaan apabila talian Internet tidak berfungsi dengan baik akan menimbulkan kerisauan di kalangan pembeli. Selain itu, kebimbangan terhadap kegiatan penggodaan, penipuan dan pembongkaran identiti/ maklumat pembeli serta rahsia kewangan turut menjadi faktor penolakan di kalangan pengguna. Bagi pihak peniaga pula, mereka juga berwaspada dengan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasi sistem ke arah keuntungan mereka. Begitu juga, system money laundering yang diperkenalkan oleh sesetengah pihak melalui penipuan.

 4.4 Kos Internet Yang Tinggi
 Akses Internet yang mahal menjadi penghalang sesebuah organisasi perniagaan dan para pelanggan untuk mencari maklumat atau info berkaitan dengan produk (Turban dan King, 2003). Para peniaga dan pelanggan akan menghadapi masalah sekiranya kos bagi mengakses Internet melibatkan kos yang tinggi. Malah, ianya turut akan membantutkan perkembangan khasnya e-dagang kerana asas utama dalam sistem e-dagang adalah Internet. Sekiranya kos bagi Internet mahal atau tinggi, ianya pastinya akan menyukarkan banyak pihak. Selain itu, ianya juga menjadi penyumbang kepada halangan untuk membeli sesuatu produk atau perkhidmatan menerusi Internet (Poong et. al 2007).


(v) Faktor pendorong penggunaan e-dagang
Terdapat pelbagai faktor – faktor yang mendorong penggunaan e-dagang kepada para peniaga dan juga pembeli di Malaysia dan juga diserata dunia. Faktor – faktor ini merupakan antara faedah – faedah yang boleh dinikmati oleh para pengguna yang menggunakan perkhidmatan e-dagang. Faktor – faktor ini dapat dibahagikan kepada individu, masyarakat dan juga kepada organisasi.

Individu
Faktor seseorang individu menggunakan perkhidmatan e-dagang ini adalah kerana pengguna biasa yang mempunyai komputer peribadinya sendiri, telefon dan juga modem dan juga mempunyai akaun dengan mana- mana pemberi khidmat internet boleh berurusan dengan mana – mana pedagang yang telah mengiklankan barangan atau perkhidmatannya menerusi internet. Perniagaan seperti ini tidak mempunyai halangan daripada aspek geografi. Produk yang dipasarkan menerusi atas talian ini boleh dicapai oleh pengguna daripada serata dunia. Ini membolehkan individu tersebut membeli – belah secara 24 jam daripada mana- mana lokasi.

Selain itu juga, e-dagang juga turut menyediakan pelanggan dengan lebih pelbagai pilihan dan juga menyediakan barangan produk yang lebih murah dengan membuat perbandingan, penghantaran lebih cepat, maklumat yang lebih terperinci, lelong, interaksi dengan pelanggan lain dan juga sebagainya. Sebagai contohnya dalam industri automobil, para pengguna boleh mencari, membeli, menginsurankan, membuat penghantaran tanpa perlu pergi kepada pengedar. Keadaan ini boleh dilakukan dengan melakukan carian di laman web Yahoo untuk mendapatkan senarai pembekal kereta. Dalam aspek penempahan kapal terbang pula, syarikat penerbangan selalunya akan menawarkan harga tiket yang lebih murah kerana tidak memerlukan orang tengah atau pun ejen untuk urusan jual beli. Bagi pembelian buku pula, individu serta pengguna boleh mencari, membuat pesanan, serta membuat pembayaran melalui laman web dengan menggunakan cek atau pun kad kredit. Tawaran diskaun yang diberi oleh pihak peniaga juga mampu menarik pembeli.


Organisasi
Faktor yang mendorong sesebuah organisasi menggunakan e-dagang dalam perkhidmatan mereka adalah kerana e-dagang kini semakin meluas digunakan di kalangan masyarakat internet terutamanya di negara – negara barat. Hal ini telah bermula sejak pertengahan tahun 1990an lagi. Malah, e-dagang juga telah diakui oleh syarikat – syarikat antarabangsa dan juga pakar- pakar pemasaran sebagai satu sektor perniagaan dan pemasaran yang tidak boleh diabaikan lagi. E-dagang juga telah menjadi satu alternatif wajib untuk apa jua jenis perniagaan yang ingin pergi ke peringkat antarabangsa.

Salah satu kebaikan dan keuntungan daripada menggunakan kaedah e-dagang ini adalah perangkaian dan integrasi di antara semua syarikat – syarikat yang berhubung baik sebagai pembeli, penjual ataupun penyedia perkhidmatan yang berkenaan. Dengan menggunakan kaedah ini, pertukaran maklumat dan juga transaksi perniagaan dapat dijalankan dalam sekelip mata. Cara ini dapat menggantikan cara yang dahulunya mungkin dibelenggu oleh kerenah birokrasi dan juga pengisian borang – borang kertas. Secara idealnya, semua ini dapat dijalankan dengan lebih efisyen oleh semua pihak yang terlibat dalam rangkaian e-dagang. Kaedah ini juga tidak dibelenggu oleh isu – isu ketidakserasian ataupun piawai teknologi dan juga telekomunikasi yang tidak serupa. Ini telah ditawarkan oleh teknologi internet yang menggunakan protokol telekomunikasinya yang dipanggil TCP/ IP yang telah diterima pakai sebagai satu piawaian yang membolehkan sebarang pelantar komputer dapat saling berhubung dan juga bertukar maklumat dengan mudah. Para pengguna web juga dapat berinteraksi dengan dunia web dengan mudah dengan hanya menggunakan ssebuah perisian pelayar.

Penggunaan e-dagang oleh sesebuah syarikat juga dapat membantu mengintegrasikan semua bahagian dalaman syarikat tersebut dengan sesebuah transaksi perniagaan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada para pelanggan. Sebagai contoh, apabila pelanggan membuat penempahan pembelian melalui e-dagang, tempahan tersebut boleh dihantar dengan serta merta kepada beberapa bahagian dalaman yang berkenaan. Bahagian itu adalah seperti bahagian penjualan, bahagian logistik dan juga bahagian pembuatan. Oleh itu, pengkoordinasian dalaman untuk memenuhi pesanan tersebut akan menjadi lebih efisyen.


Masyarakat
Apa yang diharapkan oleh e-dagang adalah kecepatan penghantaran dan juga penerimaan barangan ataupun perkhidmatan. Di samping itu juga, terdapat maklumat produk yang lebih terkini dan rapi serta terdapat kemudahan membuat pesanan online. E-dagang juga mengharapkan peningkatan usaha pemasaran masa dan juga penyingkiran orang tengah. Seandainya kesemua ini dapat diwujudkan maka matlamat mutakhir adalah harga barangan dan juga perkhidmatan akan menjadi lebih murah dan juga kompetitif.
Sesebuah syarikat atau individu mampu melakukan transaksi jual beli dari dan di mana sahaja di dunia ini. Pra syarat yang terpenting untuk menjalankan perniagaan dalam suasana e-dagang ini adalah pemilikan kelengkapan IT yanng sesuai dan juga prasarana telekomunikasi yang akan membolehkan anda mengakses internet. Dengan itu, lebih ramai lagi individu akan bekerja di rumah serta mengurangkan perjalanan untuk membeli belah. Selain itu juga, kesesakan trafik dan pencemaran udara dapat dikurangkan. Harga barangan juga akan menjadi lebih murah dan kos hidup juga akan menjadi lebih murah.



KESIMPULAN
Kesimpulannya, kejayaan e-dagang memerlukan gabungan perkongsian di antara sektor swasta dan sektor awam. Sektor awam perlu menjadi peneraju dengan mengelakan kekeliruan di antara beberapa agensi kerajaan serta berhati-hati supaya tidak timbul pertelingahan daripada sudut kewibaan (authority). Peningkatan infrastruktur komunikasi dalam bidang teknologi maklumat akan mempengaruhi kelajuan dan peningkatan penggunaan aplikasi e-dagang bagi sesebuah negara. Malaysia sudah pun menuju ke arah itu dengan projek Lebuhraya Multimedia. Oleh yang demikian adalah diharapkan urusniaga melalui e-dagang akan menjadi satu budaya urusniaga yang menggalakan dalam masa yang terdekat.
Pihak kerajaan kini telah berusaha dengan gigih bagi memastikan perkhidmatan internet yang juga merupakan nadi kepada e-dagang agar dapat dihubungkan kepada masyarakat dengan menyediakan insfrastruktur dan perkhidmatan jalur lebar yang tinggi. Pelaksanaan yang berterusan oleh pihak kerajaan perlu dititikberatkan agar sistem e-dagang ini dapat digunakan secara optimum dan berkembang pesat sejajar dengan hasrat pihak kerajaan untuk menjadikan negara Malaysia sebagai hub pusat perkembangan ICT dan perniagaan menjelang negara maju pada tahun 2020.

Disamping itu juga, perdagangan ini mempunyai peluang yang sangat besar di dalam kegiatan atau urusan perniagaan di Malaysia. Melalui e-dagang ini juga, kerajaan akan memperkenalkan cara dan gaya baru dalam urusniaga. Oleh yang demikian para peniaga harus bersedia dan merangka polisi dan strategi bagi memasuki pasaran baru dengan e-dagang.


RUJUKAN


Ang Chiew Seng. 2012. E- Dagang kuasa penggerak perniagaan baru.

Ahmad Shabery. 2015. Potensi E-Dagang Belum Dimanfaatkan Sepenuhnya.


Kelebihan Penggunaan ICT Dalam Perniagaan. Diakses pada Mei 19, daripada

No comments:

Post a Comment