Wednesday, 4 January 2017

KEPENTINGAN, POTENSI DAN CABARAN PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN DI MALAYSIA

MUHAMMAD ZULHILMI BIN MOHD RAMALAN (242209)

PENGENALAN

Malaysia merupakan antara negara yang kaya dengan sumber asli dan mempunyai tanah yang subur. Pertanian adalah antara sumber pendapatan negara. Pertanian boleh didefinasikan sebagai salah satu proses pengeluaran makanan dan barangan melalui perladangan, penternakan dan juga perhutanan. Antara faktor utama perkembangan dan kebangkitan sesebuah tamadun juga adalah melalui proses perniagaan berasaskan pertanian. Ia juga mampu membentuk masyarakat yang lebih padat dan berstrata. Pertanian pada asasnya merangkumi pelbagai bidang serta teknik daripada meluaskan tanah, bercucuk tanam, membina terusan untuk sistem pengairan tanaman sehingga membuahkan hasil dan mendatangkan keuntungan. Pada zaman yang serba moden ini, pertanian telah berkembang menjadi pertanian moden yang bersifat permakulturan dan organik dan dipanggil juga sebagai pertanian perindustrian.

Perniagaan pula lebih merujuk kepada sesebuah entiti ataupun organisasi dimana ianya diiktiraf untuk menyediakan barangan mahupun perkhidmatan kepada pelanggan atau perniagaan lain. Perniagaan pada dasarnya adalah untuk mencari keuntungan kepada pemilik perniagaan selain daripada menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Perniagaan berasaskan pertanian merangkumi proses perniagaan yang hanya melibatkan pertanian. Proses ini terjadi bila mana, sebagai contoh petani yang mempunyai lebihan keuntungan mengambil keputusan untuk menjual hasilnya kepada pemborong mahupun secara terus kepada pembeli. Maka, dengan penjualan hasil tersebut dikenali sebagai proses jual beli ataupun perniagaan maka wujudlah perniagaan berasaskan pertanian.

    ii.        KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN

Di Malaysia, bidang pertanian adalah antara bidang yang paling ramai diceburi oleh masyarakat. Contoh yang paling ketara boleh dilihat adalah seperti di Cameron Highlands dimana disana terdapatnya pertanian sayuran dan buah – buahan. Selain daripada itu, dapat dilihat di bahagian utara Malaysia dimana tanaman padi adalah antara tanaman yang senang dilihat di sekitar Kedah dan Perlis.
Pada zaman serba moden sekarang, tidak dapat dinafikan pertanian adalah antara salah satu kayu pengukur kepada tahap pembangunan sesebuah negara.  Hal ini kerana pertanian mendatangkan banyak manfaat dan faedah bukan sahaja kepada negara malah kepada masyarakat dan individu sendiri. Dapat dilihat negara China mementingkan industri pertanian sehingga menjadi antara negara pengeluar utama produk pertanian di dunia. Di malaysia, industri perindustrian menjadi produktif dan bergiat aktif menerusi Rancangan Malaysia Ke – 5 pada masa pemerintahan Dato Seri Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sejak daripada itu, industri pertanian semakin berkembang pesat di Malaysia dan tidak dipandang remeh oleh masyarakat.
Pentingnya bidang pertanian di sesebuah negara adalah sebagai pengeluar bahan makanan. Tanaman padi yang banyak terdapat di negeri Selangor dan Kedah merupakan salah satu sumber makanan kepada rakyat kerana ianya membekalkan beras. Perkara yang sama juga boleh dilihat di Cameron Highlands yang mempunyai tanaman sayuran dan teh. Melalui pertanian ini, Malaysia dapat mengurangkan pengimportan sumber makanan seterusnya dapat menjimatkan kos import negara.
Lebihan sumber pertanian negara pula dapat dieksport ke luar negara contohnya tanaman sawit. Lebihan tanaman sawit dieksport seterusnya menjadi sumber pendapatan negara. Pendapatan melalui eksport ini dapat digunakan untuk memajukan lagi negara.


Selain daripada itu, tanaman seperti sawit, getah dan kelapa dapat dijadikan sebagai bahan mentah. Tanaman sawit dapat digunakan untuk membuat minyak masak manakala tanaman getah pula dapat diproses untuk dijadikan produk – produk getah seperti tapak kasut dan juga tayar kenderaan.
Antara kepentingan lain yang dapat diketengahkan lagi adalah, dengan menjadi pengeluar bahan makanan dan pengeluar bahan mentah, ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan. Apabila sektor pertanian berkembang, permintaan pekerja akan meningkat dan ini akan meningkatkan kualiti negara dengan terhasilnya pekerja mahir.
Selaras dengan itu juga, perniagaan dalam pertanian mampu mengembangkan industri – industri desa. Industri desa akan lebih berkembang dan ini akan meningkatkan tahap pendapatan masyarakat di luar bandar. Jelaslah bahawa perniagaan berasaskan pertanian mempunyai pelbagai kepentingan bukan sahaja kepada negara malah juga kepada masyarakat dan rakyat.










   iii.        POTENSI BIDANG PERTANIAN SEBAGAI PERNIAGAAN YANG MENGUNTUNGKAN

Perniagaan dalam pertanian dapat dilihat selain mempunyai banyak kebaikan kepada negara malah membawa keuntungan dan pendapatan pada negara. Perniagaan dalam pertanian mempunyai potensi yang besar untuk mencapai keuntungan, kerana itulah semenjak tahun 1984, tiga Dasar Pertanian Negara telah digubal untuk memajukan sektor pertanian.
Dasar Pertanian Negara telah digubal pada pertama kalinya pada tahun 1984. Dasar Pertanian Negara Pertama ini lebih menekankan untuk membangunkan sektor pertanian yang berorientasikan eksport. Dasar Pertanian Negara Kedua pula telah digubal pada tahun 1992 pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dimana Dasar ini lebih menekankan kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan persaingan secara sihat di dalam bidang pertanian. Dasar Pertanian Ketiga pula digubal pada tahuun 1998 dimana Dasar ini digunakan untuk meningkatkan daya saing sektor pertanian berikutan liberalisasi perdagangan antarabangsa. Kerajaan telah merancang untuk menjadikan sektor pertanian sebagai enjin ketiga pertumbuhan ekonomi negara dengan mengembangkan lagi Kementerian Pertanian merangkumi juga bidang industri asas tani.
Tujuannya adalah supaya Kementerian Pertanian dapat memainkan peranan daripada proses akar umbi sehingga produk sampai ke pengguna. Aspek yang dibincangkan adalah proses daripada peringkat pengeluaran benih, pengeluaran, pengendalian lepas tuai, penyimpanan, logistik, pengredan, pelabelan, pembungkusan, pengangkutan, peruncitan, pemborongan, pemasaran, penjenamaan, pemprosesan sehingga proses menjual kepada pengguna atau dieksport ke pasaran luar. Proses ini termasuk juga supaya segala proses menepati piawaian – piawaian antarabangsa. Jika Kementerian Pertanian dan agensi yang terbabit memainkan peranan maka tidak mustahil  bahawa Malaysia mampu menghasilkan produk yang bermutu tinggi dan mendapat pasaran yang meluas di peringkat antarabangsa.
Selain daripada itu, antara potensi yang perlu ditekankan dalam bidang pertanian ini termasuklah memperkukuhkan organisasi yang menyelaras aktiviti, menyediakan skim skim pembiayaan yang bersesuaian termasuklah penglibatan Kerajaan Negeri. Penggunaan teknologi terkini adalah salah satu cara untuk meningkatkan potensi perniagaan dalam bidang pertanian. Sebagai contoh, pihak MARDI haruslah berusaha meningkatkan kadar pemindahan teknologi dan inovasi kepada usahawan kecik dan sederhana  supaya dapat meningkatkan pendapatan dan dapat mengeluarkan hasil yang lebih bermutu.
Usaha juga boleh dilakukan untuk menarik minat golongan muda dan remaja untuk menceburi bidang perniagaan dalam pertanian. Pendedahan kepada golongan ini haruslah dipertingkatkan supaya mereka sedar terdapat potensi yang besar dan peluang pekerjaan dengan skop yang luas di dalam bidang perniagaan dalam pertanian selain daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan. Pendedahan kepada golongan muda adalah penting kerana merekalah yang akan meneraju negara pada masa akan datang seterusnya menjurus kepada perkembangan ekonomi dan perkembangan negara.
Potensi industri pertanian negara adalah tinggi memandangkan terdapatnya persaingan yang hebat di peringkat global. Walau bagaimanapun, bidang pertanian ini menyediakan peluang – peluang yang baru yang boleh diambil kesempatan oleh pihak – pihak swasta dan pihak yang terlibat. Bidang pertanian boleh dimajukan dan mendatangkan keuntungan yang tinggi juka diusahakan secara bersungguh – sungguh dengan memberi perhatian kepada kehendak pengguna. Pihak kerajaan dan agensi berkaitan dan swasta perlulah mempunyai kerjasama supaya dapat memastikan bahawa segala potensi dalam bidang pertanian dapat dimaksimumkan supaya ianya bermanfaat dan menguntungkan kepada rakyat, masyarakat dan negara.

   iv.        CABARAN/HALANGAN BIDANG PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN

Dalam mana – mana bidang yang diceburi sekalipun, pasti terdapat cabaran dan halangan yang perlu ditempuhi. Bidang perniagaan berasaskan pertanian juga tidak terkecuali daripada cabaran dan halangan. Hanya sesetengah yang gigih berusaha dan cekal menempuh cabaran sahaja yang akan berjaya dalam bidang pertanian.
Cabaran utama bagi sesiapa yang menceburi bidang perniagaan berasaskan pertanian adalah modal. Jika difikirkan secara asasnya, jika ingin menceburi bidang pertanian, perlulah mempunyai tanah. Kos yang tinggi dalam pembeliaan tanah menjadi salah satu punca kurangnya penceburan dalam bidang pertanian. Selain itu, benih tanaman yang sukar diperolehi serta kos yang tinggi untuk membeli benih juga adalah antara cabaran dan halangan di dalam bidang pertanian.
Faktor yang kedua adalah faktor semula jadi negara Malaysia.  Keadaan cuaca di Malaysia menyebabkan terdapatnya beberapa tanaman yang tidak boleh ditanam. Contoh yang paling jelas boleh dilihat adalah buah strawberi yang ditanam di Cameron Highlands. Buah tersebut hanya boleh ditanam di kawasan sekitar Cameron Highlands dan tidak boleh ditanam di kawasan lain. Terdapat juga beberapa buah yang tidak boleh ditanam berikutan kepada keadaan cuaca di Malaysia yang panas, lembab dan hujan.
Selain daripada itu, faktor lokasi juga merupakan antara cabaran dan halangan yang harus ditempuhi apabila menceburi bidang pertanian. Kawasan muka bumi Malaysia yang berbukit merupakan cabaran besar bagi pertanian. Bagi pertanian yang memerlukan sistem pengairan, kawasan berbukit adalah kawasan yang tidak strategik dan pastinya akan merugikan para petani. Selain daripada itu, kawasan paya dan berair juga merupakan antara kawasan yang tidak sesuai untuk bertani. Lokasi adalah antara faktor cabaran dan halangan yang perlu dihadapi dalam bidang pertanian.


Cabaran dan halangan lain yang perlu ditempuhi di dalam bidang perniagaan berasaskan pertanian adalah serangan serangga dan penyakit terhadap tanaman. Tanaman dan sayuran yang ditanam bukan sahaja bahan makanan kepada manusia tetapi juga kepada haiwan dan serangga. Tanaman yang tidak dijaga dan menjadi makanan serangga akan mudah rosak dan kualitinya akan berkurang. Para petani perlu memastikan bahawa tanaman bebas daripada serangan serangga perosak dan penyakit dengan meracun tanaman ataupun melakukan teknik – teknik tradisional bagi menghalang tanaman daripada serangga perosak. Meracun tanaman memerlukan kos yang tinggi, dan ini tidak dapat dielakkan bagi memastikan bahawa tanaman sentiasa subur dan tidak rosak. Serangan serangga perosak dan kos yang perlu dikeluarkan untuk meracun tanaman adalah antara cabaran yang besar bagi para petani. Tanaman yang rosak akibat daripada serangga perosak pula akan menjejaskan tahap pendapatan petani.
Faktor terakhir yang ingin dibincangkan bagi cabaran dan halangan dalam bidang perniagaan berasaskan pertanian adalah jangka masa keuntungan pertanian. Seperti yang kita semua sedia maklum, proses tanaman yang merangkumi menanam benih, membaja, meracun, menuai hasil tanaman sehingga menjual kepada pemborong mahupun pembeli mengambil masa yang lama. Sesetengah tanaman mengambil masa berbulan dan bertahun untuk mendatangkan hasil dan dapat dilihat bahawa faktor jangka masa keuntungan adalah antara faktor terbesar di dalam cabaran dan halangan di dalam perniagaan berasaskan pertanian. Walaupun menerima bantuan daripada pihak kerajaan mahupun pihak individu atau swasta, faktor masa adalah faktor yang tidak dapat dielak dan harus ditempuhi bagi setiap petani. Hanya mereka yang betul – betul gigih dan cekal sahaja yang mampu untuk berjaya dalam bidang perniagaan berasaskan pertanian ini.

    v.        SOKONGAN DAN BANTUAN KERAJAAN KEPADA PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN

Sememangnya usaha yang dilakukan oleh peniaga yang menjalankan perniagaan berasaskan pertanian sentiasa mendapat perhatian serta tunjuk ajar daripada pihak kerajaan. Kerajaan sentiasa mendorong masyarakat terutamanya golongan muda dan remaja dan memberi latihan kepada yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan berorientasikan pertanian. Setiap tahun kerajaan menyalurkan peruntukan untuk membantu para peniaga melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Bantuan peruntukan yang disalurkan bertujuan agar pertanian yang dijalankan menggunakan teknologi canggih sesuai dengan keadaan semasa dan membekalkan benih yang berkualiti tinggi supaya hasil yang dapat dituai bermutu tinggi dan dapat dieksport.
Di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tersebut, telah diwujudkan juga agensi yang menjadi penggerak kepada usaha kerajaan untuk membantu para peniaga dan petani yang menjalankan pertanian berasaskan pertanian. Antara agensi yang ditubuhkan antaranya adalah Lembaga Pertubuhan Peladang dan juga Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Agensi yang ditubuhkan ini bertujuan untuk membantu para petani dan usahawan dan ini adalah salah satu inisiatif kerajaan dalam memberi bantuan dan sokongan kepada perniagaan berasaskan pertanian ini.
Walaupun Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ditubuhkan di bawah Kementerian Pertanian, tetapi mempunyai tujuan yang berlainan. Antara tujuan dan objektif ditubuhkan Lembaga Pertubuhan Peladang adalah untuk memberi khidmat nasihat serta menjadi agensi yang menguruskan penyaluran bantuan daripada kerajaan kepada pengusaha pertanian. Selain daripada itu, agensi ini juga bertanggungjawab untuk menganjurkan ekspo yang disertai oleh pengusaha kecil untuk memasarkan produk mereka. Dengan cara ini sahaja memudahkan pengusaha kecil untuk memasarkan produk mereka kepada pembeli mahupun kepada pemborong tanpa melalui orang tengah.
Bagi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pula, fungsi penubuhannya adalah sama iaitu menganjurkan ekspo dan pameran kepada pengusaha kecil dan sederhana tetapi ia melibatkan skop yang lebih besar. Selain daripada itu juga, FAMA juga mewujudkan pusat pengumpulan dan pusat pengedaran di mana pengusaha kecil boleh memusatkan segala hasil dan seterusnya dapat diedarkan ke pasar tani dan pasaraya yang bekerjasama dengan FAMA. Selain daripada pusat pengumpulan dan pengedaran, FAMA telah mewujudkan pasar tani mega dan gerai buah – buahan segar (GBBS) dimana pengusaha dapat memasarkan produk mereka terus kepada pembeli. Dengan adanya GBBS, para petani bukan sahaja sekadar bertani malah dalam masa yang sama menjadikan mereka usahawan yang mahir dalam selok belok perniagaan.
FAMA juga berjaya membantu pengusaha memasarkan hasil keluaran mereka menggunakan platform Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC). Platform ini digunakan kerana RTC adalah sebuah pusat yang dibina berhampiran dengan kawasan kampung. Dengan wujudnya RTC, penduduk kampung tidak perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk menghantar produk ke bandar kerana RTC adalah salah satu tumpuan penduduk bandar dan luar bandar membeli belah. Semua yang diwujudkan ini adalah inisiatif kerajaan untuk membantu pengusaha dan petani dalam menaikkan taraf hidup seterusnya menambahkan pendapatan mereka. Ini juga pada masa yang sama dapat membantu para usahawan untuk makin berjaya seterusnya mampu untuk berdikari dan belajar tentang selok belok perniagaan.

   vi.        KESIMPULAN

Sememangnya perniagaan berasaskan pertanian yang terdapat di Malaysia mampu mendatangkan keuntungan yang lumayan jika diusahakan dengan bersungguh – sungguh. Bukan sahaja kita dapat menggunakan segala sumber asli di Malaysia dengan sepenuhnya bahkan dengan bantuan yang diterima daripada kerajaan, pengusaha pertanian mampu menjadi usahawan yang berjaya.
Generasi muda seharusnya menggunakan peluang yang sudah tersedia dengan sepenuhnya. Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ditambah pula dengan lambakan graduan yang mengganggur, perniagaan berasaskan pertanian ini merupakan peluang yang harus diambil oleh golongan muda.

 vii.        RUJUKAN

(Online). https://en.wikipedia.org/wiki/Agribusiness    [2016, November 23]


No comments:

Post a Comment