Saturday, 7 January 2017

KEPENTINGAN, POTENSI DAN CABARAN PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN DI MALAYSIA

MUHAMMAD NAJIB BIN MOHAMAD ISAHAK (242053)

PENDAHULUAN
Pertanian adalah merupakan tunggak asas kepada kehidupan manusia baik dari segi sumber makanan, kewangan dan ekonomi. Slogan ‘pertanian adalah perniagaan’ sememangnya ada kebenaran. Situasi yang membolehkan aktiviti pertanian itu menjadi satu perniagaan boleh terjadi apabila pengeluaran hasil pertanian pekebun atau peniaga ini tadi bukan sahaja telah melebihi keperluan sara hidup diri, malahan telah dapat memberi keuntungan kepada pengusahanya tadi.‘Pertanian adalah perniagaan’ juga merupakan visi yang sangat popular. Ia bertujuan untuk mentransformasikan Malaysia daripada sebuah negara perindustrian kepada sebuah negara pertanian. Dengan melakukan aktiviti-aktiviti berasaskan pertanian, seseorang itu mampu menjana pendapatan yang lebih besar dan bukan sekadar untuk keperluan diri sahaja. Persepsi rakyat terhadap sektor pertanian juga perlu diubah. Rakyat perlu lebih berani mengambil risiko dan mula berbakti kepada tanah. Pertanian perlu diceburi oleh segenap lapisan umur dan bukan hanya petani-petani yang sudah lanjut usianya.Tumpuan kerajaan kepada sektor pertanian bukanlah bersifat satu langkah ke belakang. Usaha ini dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dan seterusnya membantu menambah hasil pendapatan negara. Dalam memajukan sektor pertanian, kerajaan telah melakukan banyak perubahan daripada aspek proses dan keperluan jentera. Dengan bantuan agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia atau MARDI, kita telah berjaya menghasilkan pelbagai variasi, klon dan baka tanaman baru dengan bantuan teknologi ICT yang terkini.
Kepentingan Pertanian Kepada Negara
TERAS DASAR RANCANGAN MALAYSIA KESEMBILAN
Selaras dengan hala tuju Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) dan juga wawasan tampuk pimpinan Negara, pendekatan pertanian baru ini adalah diharapkan dapat mencetuskan arus perindustrian pertanian di Negara kita pada akhir  Rancangan Malaysia Kesembilan. Revolusi ini akan berupaya mempergiatkan semula sektor pertanian dan seterusnya menjadikannya salah satu jentera pertumbuhan ekonomi Negara. Bagi mencapai matlamat ini, pembangunan sektor pertanian dalam Rancangan Malaysia Kesembilan akan dilaksanakan berdasarkan teras dasar seperti Meningkatkan pengeluaran pertanian termasuk penerokaan sumber pertumbuhan baru dengan penyertaan sektor swasta yang lebih besar. Mengembangkan aktiviti pemprosesan berasaskan pertanian dan kepelbagaian produk. Memperkukuhkan pemasaran dan rangkaian global. Meningkatkan pendapatan pekebun kecil, petani dan nelayan dan Menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan.
SASARAN RANCANGAN MALAYSIA KESEMBILAN
Berdasarkan teras dasar pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan yang ditetapkan, perancangan dan pelaksanaan projek dan program akan dibuat bagi mencapai 5 sasaran khusus seperti Menjanakan pertumbuhan nilai ditambah sebanyak 7.6% berbanding dengan sumbangan sektor perladangan sebanyak 3.2%. Mencapai imbangan perdagangan dalam makanan sebanyak RM 1.2 billion. Mencapai pertumbuhan nilai ditambah bagi industri asas tani sebanyak 5.2%; dan menarik pelaburan swasta sebanyak RM 20.1 bilion bagi mengkomersialkan pengeluaran sektor makanan dan industri asas tani.
STRATEGI PELAKSANAAN RANCANGAN MALAYSIA KESEMBILAN
Penterjemahan hala tuju dan teras dasar Rancangan Malaysia Kesembilan akan menumpukan kepada usaha ke arah menjayakan matlamat akhir dan sasaran yang telah ditetapkan. Program-program dan projek pembangunan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan bakal dilaksanakan adalah selaras dengan strategi seperti berikut  menambahkan kawasan pengeluaran agro-makanan. Memajukan sumber pertumbuhan baru seperti tangkapan ikan laut dalam dan tuna, rumpai laut, ikan hiasan dan bunga-bungaan. Meningkatkan industri asas tani. Mempelbagaikan sumber pendapatan golongan sasar. Memanfaatkan Agro-bioteknologi dan Marin Bioteknologi. Peningkatan Keupayaan Pemasaran. Pematuhan Piawaian dan Kualiti Antarabangsa. Penyediaan Pinjaman dan Insentif. Penumpuan kepada Total Factor Productivity Secara keseluruhannya, sasaran utama pembangunan pengeluaran agro-makanan dan pemprosesan hiliran di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan ialah untuk memperbanyakkan golongan petani, penternak dan nelayan moden dan komersial serta agro-entrepreneurs untuk menerajui pembangunan agro-makanan yang private-sektor driven tanpa mengabaikan petani tradisional yang akan ditingkatkan kapasiti dan keupayaan pengeluaran mereka agar dapat diserapkan dalam proses transformasi ini supaya dapat meningkat produktiviti dan pendapatan mereka. Pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan ini adalah selari dengan harapan tampuk pimpinan Negara untuk merevolusikan dan mengindustrikan sektor pertanian ini supaya menjadi lebih moden, dinamik dan berdaya saing. Pada peringkat awalnya, pertanian di negara kita hanya berfungsi untuk memenuhi keperluan asas rakyat tempatan. Kini, fungsi pertanian ternyata telah berubah. Pertanian dilihat sebagai perniagaan yang memberi prospek besar kepada seluruh masyarakat Malaysia, membantu merapatkan jurang sosial ekonomi dalam masyarakat dan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pada tahun 2010, nilai pengeluaran kasar daripada Banci Ekonomi 2011 untuk sektor pertanian adalah sebanyak RM53,452.1 juta. Penyumbang utama pengeluaran dalam sektor pertanian adalah subsektor tanaman dengan RM37,275.6 juta, diikuti perhutanan & pembalakan (RM8,111.0 juta), ternakan (RM6,591.5 juta) dan akhir sekali perikanan (RM1,474.1 juta). Bidang pertanian dilihat dapat mengurang kebergantungan terhadap pengimportan bahan makanan dari negara lain. Kebanyakan bahan makanan asas seperti beras, kopi, koko dan bijirin yang lain sesuai ditanam di negara ini.  Jika keperluan dalaman rakyat Malaysia adalah mencukupi, maka kita tidak perlu mengimport bahan makanan ini daripada negara luar. Pertanian juga dilihat sebagai salah satu cara untuk menggalakkan pengaliran wang masuk melalui pengeksportan hasil pertanian ini ke negara-negara luar. Selain itu juga, bidang pertanian juga akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Mengikut bancian yang dibuat, jumlah tenaga pekerja di sektor pertanian pada 2010 adalah dianggarkan seramai 390,708 orang. Kategori pekerja bergaji adalah seramai 384,769 (98.5%) dan hanya 5,939 orang (1.5%) adalah pemilik yang bekerja, rakan niaga yang aktif dan pekerja keluarga tidak bergaji. Daripada jumlah tenaga pekerja itu, 318,583 (81.5%) adalah pekerja lelaki dan selebihnya (18.5%) adalah pekerja wanita. Pertanian juga turut memberi keuntungan yang besar kepada pelabur dan pengusaha yang melakukannya. Sekiranya pengusaha menitik beratkan aspek kuantiti dan kualiti, maka harga pasaran hasil yang akan dijual sudah tentu akan meningkat.  Bagi menambahkan lagi daya saing produk yang dihasilkan, proses tambah nilai dalam aspek pemprosesan, penggredan, pembungkusan dan pemasaran perlu juga diberikan keutamaan. Dengan menceburi bidang pertanian, secara tidak langsung kita akan dapat membantu negara memenuhi keperluan bahan makanan sekaligus mengelakkan krisis makanan daripada berlaku. Dengan bilangan penduduk Malaysia dijangka meningkat sehingga 30.5 juta penduduk menjelang tahun 2020, tentunya keperluan makanan akan semakin meningkat. Masalah pertambahan jumlah penduduk dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan adalah antara alasan yang sering dijadikan sebab mengapa terjadinya krisis kekurangan makanan di dunia. Keperluan bahan makanan yang mendadak yang tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kekurangan sumber-sumber adalah amat membimbangkan. Selain daripada isu pertambahan penduduk, faktor lain yang membawa kepada masalah kekurangan makanan adalah berpunca daripada kejadian bencana alam yang berterusan. Apabila terjadinya bencana alam, ladang-ladang pertanian akan musnah dan ada yang terpaksa menukar tanah-tanah pertanian menjadi kawasan penempatan penduduk. Akibatnya keluasan tanah-tanah pertanian menjadi semakin kecil. Perubahan cuaca yang ekstrem di sesetengah negara juga boleh menjadi sebab keperluan bahan makanan semakin berkurangan.. Krisis makanan juga pernah berlaku di Malaysia pada bulan Mac dan April tahun 2008. Krisis ini terjadi apabila kekurangan beras dan kenaikan harga minyak mentah global. Ternyata, ia telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakyat apabila inflasi berlaku dan harga keperluan makanan naik dengan mendadak. Pertanian juga dapat dijadikan perniagaan apabila konsep agro-pelancongan diterapkan. Agro-pelancongan dibangunkan oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani sementara Kementerian Pelancongan membantu dari aspek promosi. Ia adalah satu konsep pelancongan yang berkembang pesat kerana Malaysia kaya dengan keindahan alam semulajadinya. Pelbagai aktiviti berkaitan dengan sektor pertanian dan perladangan disediakan kepada para pelancong. Antara aktiviti yang mendapat sambutan dalam agropelancongan ini adalah lawatan ke dusun buah-buah dan ladang ternakan, penyelidikan, homestay dan sebagainya. Felda Residence Tekam yang terletak di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR), Jerantut, Pahang adalah antara contoh pusat peranginan agro-pelancongan yang berbaloi untuk dikunjungi. Selain menjadi pusat pelancongan berasas pertanian, resort juga turut menyediakan lawatan ke ladang buah-buahan seperti nangka, durian, rambutan, manggis, langsat, duku dan jambu mawar. Tetamu juga diajar tentang teknik pertanian moden yang digunakan di kawasan itu.
Strategi Kerajaan Mempromosikan Bidang Pertanian
Bagi memulihkan persepsi rakyat terutamanya generasi muda terhadap pertanian, kerajaan telah menyenaraikan banyak intensif dan kemudahan bagi mendorong mereka menyertai sektor pertanian ini. Pelbagai program pertanian yang bernafas baru dan berinovasi khusus untuk menambahkan produktiviti serta pendapatan petani di Malaysia telah diperkenalkan. Sejumlah wang telah diperuntukkan kepada sektor pertanian menerusi Bajet 2013 yang dibentangkan. Sejajar dengan ikrar kerajaan, sebanyak RM5.8 bilion telah diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.  Kerajaan Malaysia juga telah menyediakan sebanyak RM30 juta bagi pembangunan program pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti, penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian. Kerajaan juga telah mempersiapkan sebanyak RM75 juta bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan. Bagi membantu para petani mengurangkan kos pengeluaran pula, kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada berjumlah RM2.4 bilion. Bantuan ini termasuk subsidi dan insentif untuk sektor padi yang merangkumi Pemberian Subsidi Harga Padi sebanyak RM480 juta, Pemberian Subsidi Baja Padi sebanyak RM465 juta, Insentif Peningkatan Hasil Padi sebanyak RM80 juta, Insentif Pengeluaran Padi sebanyak RM563 juta, Subsidi Harga Beras bernilai RM528 juta dan Subsidi Benih Padi Sah sebanyak RM85 juta. Dengan adanya subsidi ini, kerajaan berharap agar ia dapat meringankan beban pengusaha ladang. Di samping itu, kerajaan menggalakkan usahawan, petani dan pekebun kecil agar dapat mengoptimumkan amalan agronomi yang baru, pengurusan ladang secara moden, penggunaan jentera baru dan teknologi terkini serta menggiatkan Amalan Pertanian Baik (APB) atau juga dikenali sebagai Good Agricultural Practices (GAP). APB merupakan satu pendekatan dalam sistem pengembangan pertanian Jabatan Pertanian Malaysia bertujuan untuk memastikan pengeluaran hasil pertanian berkualiti dan selamat dimakan. APB merangkumi pengurusan ladang yang lebih mesra kepada alam sekitar. APB juga bertindak memastikan amalan-amalan yang dilaksanakan oleh pengusaha ladang semasa proses pengeluaran dan pengendalian hasil bagi ladang adalah berkualiti, produk yang dikeluarkan selamat dimakan dan tidak menimbulkan risiko kepada alam sekitar dan juga pekerja ladang. Kabinet Malaysia juga telah meluluskan Dasar Agro Makanan Negara (DAN) pada 28 September 2011, yang akan dijalankan selama 10 tahun (2011-2020). DAN dibentuk untuk menggantikan Dasar Pertanian Negara. Antara bidang keutamaan DAN adalah untuk mengembangkan industri ternakan, memodenkan industri perikanan, mengukuhkan industri padi dan beras, mempromosi agro pelancongan, meningkatkan industri asas tani, memacu pertumbuhan industri bernilai tinggi dan memperkukuhkan industri sayuran, buah-buahan dan kelapa. Beberapa pameran pertanian seperti Pameran Pertanian dan Agro Pelancongan (MAHA) anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diadakan dua tahun sekali bertujuan untuk mempromosi produk-produk pertanian yang diusahakan di Malaysia kepada masyarakat. MAHA juga memaparkan kejayaan sektor pertanian dan industri asas tani serta ternakan dari dalam dan luar negara daripada aspek teknologi dan inovasi. MAHA juga dijadikan platform untuk mendedahkan belia kepada bidang pertanian di samping memperkenalkan Malaysia sebagai hab pertanian dan industri asas tani untuk pelabur asing dan persendirian. Selain itu, beberapa buah Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC seperti yang terdapat di Gopeng, Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan juga telah dibuka. Ini merupakan kaedah pemasaran moden di mana RTC ini bertindak sebagai sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian tempatan. RTC jug memainkan peranan sebagai pusat yang menghubungkan pengeluar dengan pengguna.


Cabaran dan halangan bidang perniagaan berasaskan pertanian.
Pelbagai cabaran atau halangan yang perlu dilalui oleh usahawan tani bagi memastikan bidang perniagaan berasaskan pertanian ini mendapat tempat di pasaran negara mahupun antarabangsa. Terdapat tiga perkara besar yang menjadi cabaran serta halangan dalam memastikan bidang pertanian berasaskan pertanian kekal relevan dan dikenali sebagai satu perniagaan yang sangat menguntungkan kerana terhasil dari sumber alam. Cabaran dan halangan tersebut adalah tanah dan pembangunan, modal serta bencana alam.
Tanah dan Pembangunan
Malaysia mempunyai keluasan tanah sebanyak 329,960.22 kilometer persegi. Dalam keluasan tersebut, hampir 24 peratus adalah terdiri daripada tanah yang berdedikasi untuk pertanian sahaja. 24 peratus tersebut diperincikan lagi kepada 7,605,00 hektar tanah pertanian yang subur dan kekal. Sungguhpun begitu, dalam era globalisasi ini, kemodenan melangkaui segalanya dimana harga setiap tanah semakin melonjak tinggi. Usahawan tani dilanda masalah yang melibatkan tanah bagi tujuan pertanian dan disebabkan itu juga kemajuan dalam sektor pertanian Negara menjadi lambat jika tanah bagi bidang ini digunakan untuk pembangunan. Pada awalnya, kemajuan dalam sektor ini dianggarkan berlaku dalam tempoh 5 tahun dan disebabkan oleh faktor tersebut, ia dianggarkan menjangkau hingga ke 20 tahun. Oleh yang demikian, pelabur juga dikatakan menjadi tawar hati dan tidak berminat berikutan terpaksa menunggu dalam masa yang lama. Masalah kekurangan tanah yang sesuai untuk tujuan pertanian komersil berskala besar.
Modal
Banyak perkara yang perlu difikirkan sebelum menjadi seorang usahawan. Dalam konteks usahawan pertanian, banyak persoalan yang akan bermain diminda dan salah satunya adalah berkaitan dengan modal. Modal sangat diperlukan untuk menanggung kos-kos pengeluaran dimana pengusaha pertanian menghadapi halangan modal dari segi pusingan modal dan aktiviti pertanian itu sendiri. Selain itu, pengusaha juga mengalami masalah dalam kekangan kewangan untuk membeli peralatan dan perkakas yang berkaitan. Menjadi seorang usahawan tani memerlukan persediaan yang besar dari segi mental, fizikal dan kewangan. Cabaran ini merupakan satu cabaran yang perlu difikirkan oleh seorang usahawan akan dimana mereka dapat menjana sumber kewangan. Untuk menjadi seorang usahawan tani yang berjaya, perlu ditanamkan satu sifat integriti atau jujur untuk membuat bayaran terhadap semua proses yang dijalankan seperti pinjaman dan sebagainya. Masalah modal dan kekangan bantuan kewangan seperti ini sering merenjatkan hasrat serta keterujaan golongan belia untuk menjadi seorang usahawan lebih-lebih lagi di dalam bidang pertanian.mAntara inisiatif lain kerajaan Malaysia adalah dengan menyediakan pinjaman kepada usahawan tani dari Bank Pertanian atau kini dikenali sebagai Agro Bank dan Tekun Nasioanal. Pinjaman untuk penggunaan modal awal adalah tertakluk kepada apa yang telah digariskan didalam spesifikasi yang dipersetujui oleh pihak pengurusan atasan di bank tersebut.
Bencana Alam
Antara cabaran lain yang dilalui oleh pengusaha dalam bidang pertanian adalah faktor bencana alam yang berterusan dan membawa kepada kemusnahan tanaman sekaligus menyebabkan kekurangan sumber makanan. Apabila terjadinya bencana alam, ladang-ladang pertanian akan musnah dan ianya merencatkan pengeluaran hasil tanaman. Ini akan menyebabkan bekalan makanan terjejas dan pengusaha mengalami kerugian yang besar. Oleh kerana bencana alam yang berterusan, tanah-tanah pertanian terpaksa ditukar menjadi kawasan penempatan penduduk. Disebabkan itu, keluasan tanah pertanian menjadi kecil dan tanaman menjadi terhad. Melalui kajian yang dikongsi di Usahawan.com juga, Malaysia pernah melalui era krisis makanan pada bulan Mac dan April tahun 2008. Kekurangan beras dan kenaikan harga minyak mentah global menjadi punca kepada krisis makanan ini. Akibatnya, kadar inflasi berlaku dan harga keperluan makanan naik dengan mendadak sehingga menyebabkan penduduk merasa kesannya. Perubahan iklim dunia secara mendadak berupaya menjejaskan jaminan bekalan makanan dunia dan merupakan cabaran utama dalam bidang pertanian. Kenyataan ini boleh dibuktikan melalui laporan Perkembangan Ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun 2016 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia iaitu “pertumbuhan dalam sektor pertanian menguncup 3.8% (S4 2015 : 1.5%), terutama mencerminkan pengeluaran minyak sawit yang lebih rendah, berikutan fenomena cuaca El Nino yang menjejaskan hasil tanaman.” Faktor bencana alam seperti banjir, kemarau dan tanah runtuh mempengaruhi jumlah pengeluaran semasa dan lebih teruk lagi pengusaha terpaksa menanggung kerugian yang besar akibat kemusnahan tanaman. Bencana banjir besar, akhir tahun lalu, menyebabkan sektor pertanian di daerah Tanah Merah Kelantan mengalami kerugian berjumlah RM1.35 juta meningkat hampir enam kali ganda berbanding kerosakan pertanian akibat dua gelombang banjir dua tahun lalu. Anggaran kerugian petani di daerah itu akibat banjir pada akhir 2014 dan Januari 2015 berjumlah RM198,500, manakala keluasan tanah pertanian yang terlibat seluas 147.73 hektar berbanding 250.94 hektar yang musnah akibat banjir besar, akhir tahun lalu. Pegawai Pertanian Jajahan Tanah Merah, Mohd Nazmin Ismail berkata, kerugian akibat banjir besar akhir Disember tahun lalu ditanggung seramai 396 petani membabitkan tanaman padi; buah-buahan; sayuran, industri asas tani dan penternakan lebah kelulut. Katanya, daripada jumlah tersebut, tanaman padi paling teruk terjejas melibatkan 252 petani, diikuti penanam buah-buahan seramai 86 orang, manakala petani sayur; industri asas tani dan lebah kelulut masing-masing berjumlah 38, 13 dan tujuh orang.
Sokongan dan bantuan kerajaan kepada perniagaan berasaskan pertanian.
Peruntukan Bajet 2016 Dalam usaha meningkatkan sumber bekalan makanan negara, kerajaan memperuntukkan RM5.3 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi menggerakkan aktiviti ekonomi dalam sektor pertanian.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha berkenaan akan dikelola menerusi empat program utama meliputi penanaman, menaik taraf infrastruktur, pembukaan pasar tani baharu dan program agroprenur muda."RM450 juta diperuntukkan untuk program berimpak tinggi seperti penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran, menyedia geran pemadanan, penyelidikan produk herba dan penternakan ikan dalam sangkar," kata Najib yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat hari ini.Sejumlah RM180 juta pula diperuntukkan untuk menaik taraf infrastuktur saliran di kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu di seluruh negara.Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), yang bertanggungjawab dalam pemasaran produk pertanian, menerima peruntukan RM190 juta bagi menjayakan Program Penurunan Harga dengan menambah 50 lagi pasar tani dan mewujudkan 150 Agrobazaar Rakyat 1 Malaysia (ABR1M) yang baharu. "40 peratus daripada jualan di ABR1M adalah barang-barang basah seperti ikan, sayur dan sebagainya akan dijual dengan harga yang dianggarkan lima hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran," kata Najib. Beliau berkata untuk menggalak penglibatan golongan muda dalam industri itu,RM90 juta diperuntukkan untuk meneruskan pelaksanaan Program Pembangunan Agroprenur Muda. Dua bentuk bantuan yang akan diberi adalah pemberian geran 'in-kind' dan penyediaan Dana Pembiayaan Usahawan.Selari di bawah usaha ini, beberapa institut dan jabatan kerajaan berkaitan pertanian akan turut melalui proses penjenamaan semula. Antara yang bakal terlibat adalah Institut Penyeldikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan.Turut menerima manfaat adalah Projek Ladang Pengganda untuk penternakan lembu dan ladang ayam kampung. Sektor pertanian dan industri asas tani perlu mengalami transformasi untuk menjadikan sektor ini lebih moden, dinamik dan berdaya saing. Justeru, kerajaan di bawah kementerian yang berkaitan melihat usaha-usaha sebagai jalan penyelesaiannya.
Transformasi Ladang
Saiz tanah yang tidak ekonomik menyebabkan produktiviti dan kos pengeluaran yang tinggi. Program untuk memperolehi faedah berskala seperti projek kelompok, pemuliharaan tanah terbiar secara estet/kelompok, Taman Kekal Pengeluaran Makanan dan Projek 10 Tan Padi telah pun dilaksanakan. Dalam skim-skim ini, Amalan Pertanian Baik (Good Agriculture Practices) digalakkan supaya keluaran pertanian yang dihasilkan adalah berkualiti dan selamat dimakan. Program Plantation Integration Areas (TAC) juga dilaksanakan bagi mengoptimumkan penggunaan kawasan perladangan bagi menjanakan hasil sampingan dengan ternakan lembu.
Transformasi Tenaga Buruh Kepada Penggunaan Mekanisasi, Otomasi dan Teknologi.
Negara perlu meningkatkan tahap dan proses pengeluaran daripada yang bergantung berat kepada tenaga buruh kepada berintensifkan modal, teknologi dan berasaskan ilmu pengetahuan. Program pemindahan teknologi dan cara tanaman yang baru bagi meningkat produktiviti telah dilaksanakan. Ini termasuk program inkubator dan belia tani bagi melahirkan usahawan tani, program fertigasi tanaman pertanian, dan sistem ternakan ayam secara tertutup (closed house system). Di dalam pembangunan perikanan pula, usaha bagi meningkatkan tahap teknologi dilaksanakan melalui program pen culture, akuakultur secara nukleus, open sea cage culture dan mengurangkan kehilangan hasil akibat ´post harvest´.
Pengurusan Ladang Yang Moden
Program latihan dan kemudahan akan dipertingkatkan bagi memastikan peladang dibekalkan dengan kemahiran teknikal dan teknologi bagi meningkatkan produktiviti manakala pakar-pakar dan pekerja yang terlibat dalam aktiviti bimbingan dan latihan dilengkapkan dengan pengetahuan dan kepakaran bagi membantu masyarakat tani. Untuk mencapai tujuan ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang berusaha meningkatkan khidmat pengembangan dan khidmat nasihat teknikal. Inkubator-inkubator bagi memberi latihan tambahan juga telah dibina untuk memberi latihan kepada golongan sasar di ladang sebenar.
Daya saing Lebih Tinggi
Kualiti produk yang rendah dan tidak seragam menyebabkan hasil pertanian negara tidak dapat bersaing di pasaran global. Dengan harga yang tinggi di pasaran domestik dan jangkaan lambakan hasil pertanian dari luar negara yang lebih murah berikutan pembukaan pasaran di bawah pelaksanaan WTO dan AFTA, hasil pertanian negara akan menghadapi persaingan yang tinggi. Sehubungan itu, hasil pertanian negara perlu berkualiti dan mematuhi piawaian keselamatan makanan antarabangsa bagi membolehkan hasil pertanian dieksport mahupun dipasarkan di dalam negara. Konsep jaminan kualiti daripada ladang ke meja hidang akan diamalkan secara meluas melalui skim akreditasi serta kawalselia dan pemeriksaan veterinar yang ketat di ladang ternakan, kilang makanan haiwan, rumah penyembelihan, kilang pemprosesan, stesen kuarantin dan setiap pintu masuk ke dalam negara.

Mempelbagaikan Pulangan Pelaburan
Masalah pulangan terhadap pelaburan yang rendah dan lambat dapat diatasi dengan memberi tumpuan kepada aktiviti integrasi tanaman-ternakan, intercropping, mixed farming dan juga marinovasi. Aktiviti pemprosean hiliran juga merupakan satu usaha untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi masyarakat tani dan menambahkan pendapatan mereka dalam mengeluarkan produk yang diproses yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.
Pengezonan
Selaras dengan pendekatan pembangunan pertanian berasaskan produk, pembangunan secara sektoral melalui pengezonan kawasan pengeluaran pertanian akan dilaksanakan. Ini bertujuan bagi membolehkan pembangunan pertanian secara kelompok dapat dihasilkan supaya faedah perbandingan (comparative advantage) diperolehi. Zon-zon pengeluaran ini termasuklah zon perindustrian akuakultur (ZIA), zon-zon tanaman, zon-zon pengeluaran ternakan dan kawasan integrasi ladang (TAC). Perlaksanaan zon-zon ini akan membolehkan para pengusaha meningkatkan hasil mereka kerana keadaan agro-klimatik yang sesuai untuk aktiviti tertentu. Selain daripada itu, ia juga membolehkan kerajaan menumpukan khidmat sokongan mengikut jenis aktiviti pertanian yang dilaksanakan di kawasan tertentu.
Insentif Untuk Projek Pengeluaran Makanan
Kerajaan juga menyediakan insentif istimewa bagi projek pengeluaran makanan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Di bawah insentif ini, syarikat-syarikat yang mengusaha atau melabur dalam projek pengeluaran makanan layak mendapatkan insentif khas selain daripada insentif-insentif lain seperti taraf perintis, insentif untuk menggalakkan eksport dan sebagainya.
Latihan
Latihan pertanian moden juga ada di tawarkan oleh kerajaan didalam Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan. Ia bertujuan menggalakkan generasi muda melibatkan diri dalam bidang pertanian sebagai pekerja mahir dan pengusaha pertanian bertaraf komersil dan berskala besar melalui penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan kualiti dan produktivi sektor pertanian negara. Diantara objektif program ialah menyediakan tenaga kerja mahir terlatih dalam sektor pertanian yang meliputi semua peringkat pekerjaan iaitu pekerja mahir, penyeliaan dan pengurusan. Melahirkan usahawan tani muda yang berdaya saing, moden dan kreatif bagi mencapai negara yang berpendapatan tinggi. Menjadi platform kepada pelatih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Pelaksanaan program yang dijalankan adalah berteraskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SPKP) atau National Occupational Skills Standard (NOSS) yang menyampaikan latihan berasaskan kompetensi kemahiran dan memfokuskan kepada latihan amali, projek serta simulasi.  Persijilan PLKPK adalah ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.
Kemudahan Infrastruktur
Sebagai usaha untuk meningkatkan khidmat sokongan kepada sektor pertanian, kerajaan juga sedang berusaha meningkatkan kemudahan infrastruktur serta khidmat sokongan di sektor pertanian. Dalam hal ini, kemudahan-kemudahan seperti saliran dan pengairan serta jalan ladang akan diperbaiki dan dipertingkatkan dari masa ke semasa. Selain daripada itu, kemudahan pemasaran seperti pusat pengumpulan dan pengedaran produk pertanian juga disediakan. Tujuannya ialah untuk meningkatkan keberkesanan rangkaian pemasaran produk pertanian dari ladang ke pasaran. Walaupun peruntukan yang besar diperlukan oleh sektor pertanian, kedudukan dan sumbangannya terhadap ekonomi negara tidak dapat disangkal. Justeru, mengekal dan memeliharanya merupakan langkah yang sangat bijak oleh kerajaan disamping dapat memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi bagi umat warganegara khasnya dan warga dunia amnya yang semakin bertambah.



Kesimpulan
Konklusinya, kita mendapat banyak kebaikan daripada sektor pertanian. Tetapi ramai golongan muda yang lebih gemar mencari pekerjaan di bandar besar kerana peningkatan kegiatan perindustrian yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Namun, kerajaan telah bersungguh-sungguh untuk menjadikan tanah lapang yang subur sebagai tapak pertanian dan sedang menanti mereka untuk mengusahakannya. Justeru, kita hendaklah mengubah pandangan kita terhadap sektor pertanian kerana sektor ini sebenarnya mendatangkan banyak faedah dan menguntungkan.


Rujukan.

No comments:

Post a Comment