Wednesday, 4 January 2017

KEPENTINGAN, POTENSI DAN CABARAN PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN DI MALAYSIA

SEK MOHD FADZIL BIN SEK RAHMAT MIAH (242129)

PENGENALAN
Pertanian boleh didefinasikan sebagai pengeluaran makanan dan barangan melalui perladangan, penternakan dan perhutanan. Ia juga merupakan komponen yang utama dalam revolusi dan pembangunan yang membawa kepada kemajuan tamadun dengan penanaman dan penternakan yang telah mewujudkan lebihan makanan yang mempengaruhi pembangunan dan perkembangan masyarakat yang lebih padat dan sistematik. Aktiviti pertanian telah memainkan peranan yang paling utama dalam perkembangan ketamadunan dengan sebahagian besar jumlah penduduk terlibat secara langsung dalam bidang pertanian sehingga tercetusnya Revolusi Perindustrian. Pertanian merangkumi pelbagai bidang dan teknik termasuk kaedah yang digunakan untuk proses perluasan tanah untuk bercucuk tanam dengan membina terusan air dan bentuk pengairan yang menjadi keperluan bidang ini. Bidang ini telah sejak dahulu menjadi sumber makanan bagi menampung sesebuah tamadun manusia.
Penanaman tanaman di tanah yang sesuai untuk pertanian dan penternakan haiwan di lokasi yang bersesuaian merupakan antara asas dalam pertanian. Pada abad yang lalu, pengenalpastian dan pengkuantitian pelbagai bentuk pertanian telah menjadi perkara yang diutamakan namun kini dalam dunia yang semakin moden dan maju, julat yang diambil kira biasanya meliputi antara pertanian mampan misalnya, permakultur dan pertanian organik dan pertanian intensif contohnya, pertanian perindustrian. Pertanian boleh dikatakan satu industri atau bidang yang berterusan dan dinamik dalam persekitaran dunia yang berubah dengan pesat.
Agronomi ataupun ilmu pertanian moden, pembiakbakaan tumbuhan, racun perosak, dan baja serta peningkatan ilmu dan teknologi telah mempengaruhi peningkatan hasil tanaman secara drastik namun dalam masa yang sama, proses dan senario tersebut berupaya menjejaskan sistem ekologi dan kesihatan manusia. Pembiakbakaan pilihan dan amalan moden penternakan seperti penternakan babi intensif yang serupa amalannya terhadap penternakan ayam mampu meningkatkan pengeluaran daging, tetapi menimbulkan rasa bimbang tentang kekejaman haiwan dan kesan terhadap kesihatan antibiotik, hormon pertumbuhan dan bahan kimia lain yang umumnya digunakan dalam pengeluaran daging perindustrian.
Sektor pertanian negara merupakan salah satu komponen ekonomi yang penting dalam menjana ekonomi negara selepas sektor perkhidmatan dan pembuatan. Industri pertanian juga merupakan penyumbang utama terhadap industri pembuatan makanan dari aspek bekalan bahan mentah yang diperlukan dalam proses pengeluaran makanan. Akibat kebergantungan sektor pembuatan makanan dari sektor pertanian, maka jelas bahawa pertanian merupakan satu bentuk perniagaan yang akan berterusan dan berpotensi menjana pendapatan dan peluang kepada semua dalam usaha mewujudkan lebih ramai usahawan tani. Perkara ini telah terbukti di mana walaupun negara kita Malaysia semakin menuju kepada negara industri, sektor pertanian masih lagi merupakan sektor yang mempunyai kepentingan dan mempengaruhi penjanaan ekonomi. Walaupun dalam situasi di mana sumbangan sektor pertanian semakin berkurangan, tetapi ia masih merupakan satu-satunya sektor yang sumbangannya agak signifikan, relevan serta mempengaruhi kestabilan ekonomi ketika negara kita mengharungi kegawatan ekonomi yang berlaku pada tahun 1986-1987 dan 1997-1998.
Di samping perkara-perkara yang diutarakan di atas, sektor pertanian juga banyak menyumbang kepada peluang pekerjaan terutama dalam bidang perladangan dan penternakan secara komersil. Peningkatan pendapatan daripada komoditi utama pertanian seperti kelapa sawit, getah dan lada hitam banyak menyumbang kepada munculnya peluang pekerjaan.

KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN
Berbicara tentang kepentingan bidang pertanian, kita semua bersetuju bahawa bidang ini merupakan satu sektor yang menyediakan hampir keseluruhan keperluan asas yang diperlukan oleh manusia terutamanya makanan. Industri makanan yang kini menjadi sektor ketiga terpenting selain sektor pembuatan dan perkilangan berdasarkan kepentingannya yang menjadi satu sumber utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu boleh dikatakan disini bahawa kepentingan sektor pertanian terhadap pembangunan sesebuah negara terutamanya Malaysia tidak dapat dinafikan lagi lebih-lebih lagi kerana industri ini menghasilkan pelbagai manfaat kepada kita. Di Malaysia, industri pertanian mula dibangun dan diperluaskan secara lebih proaktif pada era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi menerusi Rancangan Malaysia (ke-5) yang pada waktu itu, negara kita berjaya membangun dengan lebih pesat seiring dengan kemajuan dalam industri pertanian. Kebanyakan negara-negara maju dunia mula menyedari akan pentingnya fokus diberikan kepada industri pertanian sebagai contoh negara China kini boleh berbangga dengan status negara mereka sebagai antara pengeluar utama produk pertanian di dunia.
Andainya kita mendalami lebih lagi mengenai industri pertanian ini, kita boleh mengaitkan keupayaan industri pertanian dalam mengubah tahap dan kemajuan sesebuah negara dan tebukti bahawa industri pertanian ini mendatangkan ribuan manfaat kepada sesebuah negara yang berusaha dan memberi tumpuan dalam memajukannya. Kepentingan sektor pertanian juga dapat membantu dalam proses mengurangkan kadar kemiskinan kerana bidang ini lebih banyak difokuskan kepada masyarakat luar bandar yang umumnya taraf hidup dan pendapatan mereka agak rendah.
Salah satu faedah utama industri pertanian adalah ia mampu meningkatkan pendapatan sesebuah negara. Ini terbukti jelas iaitu pada tahun 2006 sahaja negara kita Malaysia telahpun mengeksport produk pertanian bernilai (RM 71 billion) dan (RM 108 billion) pada tahun 2008. Peningkatan pulangan yang diperolehi negara melalui industri pertanian semakin signifikan setiap tahun dan ini adalah kerana kebanyakan negara-negara lain hanya mementingkan kemajuan dalam aspek infrastruktur tanpa menyedari bahawa negara mereka telah kekurangan tanah untuk memajukan sektor pertanian. Seperti yang hampir kite semua tahu bahawa suatu ketika dahulu, negara kita Malaysia pernah diberikan status pengeksport utama getah di rantau Asia dan diharap usaha memaju dan memperkasakan indutri pertanian ini perlulah dijalankan secara konsisten dan berterusan dalam usaha mengembalikan kegemilangan pertanian di Malaysia. Sebagai contoh, salah satu produk pertanian yang popular di Malaysia adalah teh dan kepesatan industri penanaman teh di kawasan-kawasan tanah tinggi seperti di Cameron Highland telah berjaya menaikkan nama Malaysia sebagai salah satu negara pengeluar teh yang berkualiti di rantau Asia.
Secara umumnya, industri pertanian sememangnya berupaya dan mampu mempengaruhi peningkatkan terhadap pendapatan sesebuah negara khususnya negara kita Malaysia. Industri pertanian ini juga mampu meningkatkan peluang pekerjaan dan secara konsisten dapat membantu negara dalam mengurangkan kadar  pengangguran yang telah lama mengganggu dan merencatkan ekonomi rakyat Malaysia. Sebagai contoh, Kementerian Pertanian telah menjalankan projek permulaan (EPP) yang memberi penekanan kepada tiga bidang iaitu rumpai laut, ikan hiasan dan burung walit di mana projek tersebut mampu memberikan sebanyak 75,000 peluang pekerjaan.
Dalam pada masa yang sama, industri pertanian juga mampu berkembang dan membangun melalui pengenalan terhadap konsep industri desa. Ini terbukti melalui penubuhan industri kecil sederhana (IKS) yang membimbing penduduk di luar bandar dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan mereka. Pihak kerajaan juga telah melancarkan program ‘Satu Daerah Satu Industri’ yang memberi penekanan terhadap sektor pertanian di kalangan penduduk luar bandar di mana kini, lebih daripada enam ribu rakyat Malaysia telahpun menceburi bidang pertanian sama ada secara kecil mahupun komersil dengan bantuan dan bimbingan dari pihak Kementerian Pertanian. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk membantu golongan luar bandar meningkatkan pendapatan mereka melalui sektor pertanian. Selain dapat meningkatkan taraf hidup serta pendapatan, usaha ini juga adalah bagi mengurangkan penggantungan kepada aktiviti import terutamanya yang membabitkan barangan makanan. Antara faktor utama galakan dari pihak kerajaan adalah kerana pengeluaran produk makanan yang bersumber dari industri pertanian masih belum di tahap optimum dan dalam masa yang sama kerajaan masih perlu mengimport barangan makanan seperti gula, bawang, ubi kentang, kekacang, buah-buahan, produk tenusu dan makanan ternakan bagi menampung keperluan negara. Sejajar dengan itu, kerajaan di jangka akan terus memberi suntikan modal dan sokongan terhadap pembangunan industri pertanian bagi menangani situasi ini.
Selain kepentingan yang telah diulas di atas, industri pertanian juga sangat penting dalam aspek sistem perhubungan yang mampu dimajukan dengan melalui bidang  pertanian. Contoh paling jelas ialah ketika era penjajahan British, rangkaian jalan raya telah dibina bagi memudahkan proses mengangkut hasil pertanian ke pelabuhan dan bukan sekadar iainya berlaku di negara kita, situasi ini juga berlaku pada negara-negara maju di mana kemajuan sistem perhubungan mereka bertitik-tolak dari kegiatan pertanian. Berbeza dengan Sabah dan Serawak di mana bentuk muka bumi negeri mereka yang berbukit bukau telah menjadi kekangan utama dalam usaha memajukan sektor pertanian mereka maka jaringan perhubungan mereka lebih tertumpu kepada jaringan udara di mana pesawat-pesawat ringan digunakan untuk mengangkut hasil dari industri pertanian.

POTENSI DAN PELUANG BIDANG PERTANIAN SEBAGAI PERNIAGAAN YANG MENGUNTUNGKAN
Selepas kemerdekaan, Malaysia terkenal sebagai sebuah negara pertanian. Aktiviti ekonomi negara pada ketika itu banyak bergantung kepada sektor pertanian dan perlombongan. Menurut catatan sejarah, sumbangan sektor pertanian kepada KDNK pada tahun 1957 ialah sebanyak 46% dan keadaan ini telah berubah pada tahun 2003 di mana sumbangan sektor pertanian kepada KDNK telah jauh menurun kepada hanya 8.45%. Dalam pada itu negara kita kini lebih terkenal sebagai sebuah negara pengeluar produk pembuatan di mana bilangan pekerja sektor pertanian pada tahun 1966 yang jumlahnya 80.3% daripada keseluruhan jumlah pekerjaan berbanding peratusan kecil  iaitu 14.9% untuk tahun 2002. Ini tidak bermakna bahawa perniagaan dalam sektor pertanian tidak berpotensi tetapi lebih kepada kurangnya kesedaran atau minat para usahawan mahupun bakal usahawan untuk menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan pertanian.
Pada situasi masa kini, kita seharusnya bersetuju dengan wujudnya peluang dan potensi dalam bidang pertaniaan khususnya sebagai satu bentuk perniagaan yang menguntungkan. Oleh kerana pengeluaran bahan makanan dari sektor pertanian perlu diberi fokus dan keutamaan, ia berpotensi menjadi satu cabang perniagaan yang berterusan dan konsisten selaras dengan salah satu dasar pertanian negara yang menjurus kepada pencapaian pembangunan industri makanan pada tahap yang lebih tinggi dan global. Ini bermakna perniagaan berasaskan pertanian adalah sangat relevan dan berpotensi besar sebagai penjana pendapatan kerana pengeluaran secara komersil adalah sangat penting bagi memenuhi gantian import kepada permintaan dalam negara, untuk tujuan pengeksportan dan penyumbang utama bahan mentah kepada keperluan industri yang lain.
Pertanian komersial adalah aktiviti pertanian yang berunsur kepada perniagaan yang berdasarkan kepada sumber pertanian yang terdapat di dalam negara khususnya Malaysia. Melalui aktiviti inilah mereka yang terlibat secara langsung dalam industri pertanian berpotensi dan berpeluang menjana pendapatan. Berdasarkan permintaan tinggi yang wujud dari industri mahupun pengguna akhir, ia membuka peluang yang luas bagi perniagaan yang berasaskan pertanian untuk memperolehi keuntungan. Oleh kerana sektor pertanian merupakan teras utama dalam pembangunan ekonomi potensi untuk para usahawan yang menceburi bidang perniagaan berasaskan pertanian sangat luas lebih-lebih lagi dengan perkembangan yang pesat dalam industri pertanian terutamanya penggunaan bioteknologi. Perkembangan dalam bioteknologi berupaya membuka peluang kepada usahawan tani untuk menjana pendapatan yang lebih lumayan.
Usahawan dalam perniagaan berasaskan pertanian ini seharusnya merancang strategi bagi mengkomersilkan produk-produk pertanian mereka. Kewujudan potensi yang besar ini harus diambil peluang oleh para usahawan tani dengan berusaha untuk lebih kompetetif dengan menggunakan kaedah-kaedah moden dan teknologi yang sedia ada khususnya dalam bidang pertanian supaya output hasil pertanian yang dikeluarkan berkualiti disamping kuantiti yang boleh meningkatkan keuntungan. Pengeluaran pertanian sekarang harus menepati aspek-aspek kualiti dan keselamatan kerana menerusi cara ini pengusaha pertanian mendapat jaminan pasaran tempatan dan luar negara, memperolehi harga yang lebih tinggi dan seterusnya memperolehi pendapatan yang lebih baik. Sekiranya semua pangusaha mengamalkan pendekatan ini, tidak mustahil daya saing pengeluaran pertanian negara akan berjaya dipertingkat dan dipertahankan. Selain itu, usahawan seharusnya tidak ketinggalan untuk mengambil kesempatan dari situasi semasa di mana sektor pertanian mempunyai prospek yang sangat mengalakkan jika dilihat dari sudut pertumbuhan ekonomi negara dalam ekonomi utama OECD. Keadaan ini mengakibatkan permintaan tinggi bagi produk berkaitan pertanian dari Malaysia manakala bagi ekonomi dalam negeri, peningkatan yang baik dalam pendapatan menjurus kepada peningkatan permintaan terhadap produk pertanian untuk makanan mahupun bukan makanan. Ini disokong oleh betapa sektor pertanian menjadi pembekal utama bahan mentah bagi industri berasaskan pertanian yang menjamin potensi berterusan bagi perniagaan berasaskan pertanian.
Potensi besar yang wujud dalam perniagaan berasaskan pertanian seharusnya tidaka dilepaskan oleh bakal-bakal usahawan kerana ia berupaya memberikan pulangan yang lumayan dan konsisten. Ramai usahawan berjaya telah lahir di Malaysia sebagai contohnya Puan Faiza Bawumi Sayed Ahmad Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn. Bhd. Yang mengusahakn perniagaan beras dan produk makanan, En. Syed Osman bin Syed Rashtan Pengerusi Eksekutif Diversatech (M) Sdn Bhd yang mengusahakan baja kimia dan organik, En. Mohd. Zalalnudin Latipi yang mengusahakan ternakan ikan arowana, En. Mohamed Ismail Jaafar yang mengusahakan penanaman orkid dan En. Johny yang mengusahakan produk berasaskan kelapa iaitu Nata de Coco. Usahawan-usahawan tani tersebut telah berjaya menggunakan peluang dan potensi yang ada dalam sektor pertanian untuk menjana pendapatan dan keuntungan yang konsisten malah ada yang mencapai jutaan ringgit.
Generasi muda dan bakal usahawan perlu mengubah tanggapan dan stigma bahawa perniagaan berasaskan pertanian adalah tidak menguntungkan. Ini adalah kerana, bidang perniagaan berasaskan pertanian telah pun berkembang pesat dan memacu ke arah sains dan teknologi serta berupaya menjana ekonomi sesebuah negara. Pertanian berpotensi tinggi di dalam aspek perniagaan dan berupaya untuk menghasilkan pendapatan yang konsisten dan lumayan berbanding bidang lain. Jika pemikiran dan tanggapan masyarakat tidak diarah dan dibimbing dengan fakta semasa dan sebenar, masyarakat khususnya bakal usahawan bakal terlepas akan peluang dan potensi yang ada di depan mata mereka. Walaupun kedengaran seperti sesuatu yang kolot dan tidak menguntungkan, pertanian merupakan satu bentuk perniagaan yang mempunyai masa depan yang cerah dan boleh merubah taraf hidup para pengusahanya. Selain memberi keuntungan terhadap individu itu sendiri, perniagaan berasaskan pertanian juga mempengaruhi iklim ekonomi negara kita. Ia membantu kitaran ekonomi negara dengan melonjakkan pendapatan serta mengurangkan kebergantungan kepada produk pertanian import dari luar negara. Selain hasil pertanian dan ternakan, terdapat juga peluang dalam biodiversiti dan herba yang berpotensi untuk diterokai sepenuhnya sebagai suatu bidang perniagaan dalam aspek pertanian.

CABARAN/HALANGAN BIDANG PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN
Setiap perkara yang dilakukan pasti ada cabaran dan seperti bidang lain, bidang pertanian juga tidak akan terlepas dari segala cabaran yang mungkin wujud. Perniagaan berasaskan pertanian khususnya banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor yang hampir kesemua cabang perniagaan terpaksa harungi.
Beberapa jenis masalah dikenalpasti sering dihadapi oleh sektor pertanian terutamanya sub-sektor, getah, padi, perikanan dan pekebun kecil. Kebanyakan cabaran dan masalah yang dihadapi dalam industri pertanian kini berkisar kepada tenaga buruh, tanah, pengurangan dan kepupusan sumber pertanian, kekurangan modal dan tahap pelaburan yang secara relatifnya rendah, pengurusan dan perancangan yang kurang cekap, keupayaan pengeluaran yang tidak mencapai tahap yang diperlukan, kos pengeluaran yang agak tinggi, harga komoditi yang berada pada tahap yang rendah serta kekurangan ilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan dan pertanian.
Cabaran terhadap masalah tenaga buruh telah menjadi satu kekangan utama dalam sektor pertanian dan ia bukanlah sesuatu yang janggal kerana setiap industri di Malaysia mengalami masalah yang serupa. Faktor inilah yang mendorong kemasukan buruh dari negara luar bagi mengatasi keperluan industri. Walaubagaimanapun sekiranya anak tempatan lebih berfikiran positif terhadap industri pertanian selain keadaan sosioekonomi yang rendah, cabaran mendapatkan tenaga buruh ini dapat dikurangkan. Pada masa yang sama juga, kekurangan minat dari kalangan masyarakat tempatan untuk membina kerjaya dalam bidang pertanian adalah juga dipengaruhi oleh tawaran pendapatan yang lebih baik dari bidang-bidang lain. Imej dan kemudahan sosial yang lebih baik di bandar juga antara faktor yang menjadi punca permasalahan tenaga kerja kerana lokasi perniagaan berasaskan pertanian berada di luar bandar. Peluang untuk warga tempatan meperbaiki taraf hidup dan ekonomi juga dikatakan lebih cerah dalam bidang lain di mana bidang pertanian sering dikaitkan dengan tidak konsisten. Selain dari faktor yang disenaraikan, tahap pendidikan juga memainkan peranan kerana dengan kelulusan yang warga tempatan miliki mendorong mereka untuk bekerja selain dari bidang pertanian. Masyarakat tempatan harus diberi lebih kesedaran dalam memperbaiki kelompongan yang wujud dalam sektor pertanian. Mereka perlu diberi bimbingan agar lebih ramai masyarakat tempatan melibatkan diri dalam perniagaan berasaskan pertanian.
Bagi mengatasi cabaran dalam mendapatkan tenaga buruh, dalam jangka pendek, penggunaan buruh asing tidak dapat dielakkan dan bagi jangka masa panjang pula, permasalahan ini cuba diatasi dengan penggunaan jentera serta teknologi moden secara intensif. Ketika ini, sebahagian besar dari aktiviti yang terlibat dalam sektor pertanian boleh dilaksanakan dengan penggunaan jentera dan teknologi moden sebagai contoh dalam usaha menjimatkan tenaga buruh dalam pengeluaran padi, mesin jentuai boleh digunakan. Penyelidikan juga banyak dilakukan oleh jabatan-jabatan seperti FAMA dan MARDI dalam usaha menghasilkan mesin dan jentera moden dan terkini untuk meminimumkan kos dan mempertingkatkan pengeluaran. Kita semua sedia maklum bahawa perbelanjaan yang dilabur oleh pihak kerajaan untuk memajukan sektor pertanian adalah besar tetapi pendapatan yang diterima oleh golongan sasar masih lagi ditahap rendah. Seharusnya pendekatan baru dilaksanakan untuk mengatasi permasalahan tersebut. Fokus utama boleh diberi kepada industri padi dan beras serta Dasar Pengeluaran Makanan Strategik, ternakan dan perikanan laut dalam. Kaedah dan teknik terkini dan moden juga perlu dikenal pasti untuk memastikan bahawa usahawan usahawan tani dapat meningkatkan pendapatan dengan lebih baik dan konsisten selain mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh.
Satu lagi cabaran yang dihadapi dalam sektor pertanian ini adalah berkaitan sumber tanah. Dalam Rancangan Malaysia Keenam, Semenanjung Malaysia semakin kehilangan tanah baru yang sesuai untuk digunapakai dalam pembangunan pertanian. Sehubungan itu, bermula dari Rancangan Malaysia Keenam, FELDA tidak lagi memajukan tanah baru di Semenanjung Malaysia. Selain itu juga, terdapat penurunan terhadap keluasan tanah pertanian yang berpunca dari penukaran jenis tanaman kepada jenis yang lain dan juga penukaran penggunaan tanah pertanian kepada tanah komersil dan penempatan. Bagi pekebun kecil pula, saiz tanah yang diusahakan adalah terlalu kecil dan tidak ekonomik dalam keupayaan untuk menjana keuntungan. Bagi mengatasi cabaran terhadap masalah tanah yang terbiar pula, pihak swasta juga perlu memainkan peranan utama selari dengan objektif syarikat swasta yang lebih berorientasikan keuntungan serta mempunyai kemudahan-kemudahan yang mencukupi untuk proses memulihkan tanah-tanah yang terbiar. Pemilik-pemilik tanah pula perlulah memberi kerjasama dan bersedia untuk melepaskan tanah mereka untuk diusahakan dan dibangunkan.
Berkaitan dengan cabaran terhadap kepupusan tanah yang boleh dibangunkan bagi tujuan pertanian pula, penggunaan tanah perlu dibangunkan secara intensif dan optimum. Sebagai contoh, para penyelidik juga perlu memainkan peranan yang lebih dalam usaha menghasilkan klon yang boleh ditanam dalam kawasan kecil dengan lebih padat tanpa menjejaskan pengeluaran yang tinggi dan berkualiti. Pelaburan juga boleh difokuskan ke negeri Sabah dan Sarawak yang berpotensi besar dalam bidang pertanian dengan kewujudan tanah yang masih banyak dan boleh dibangunkan untuk tujuan pertanian. Begitu juga dengan subsektor perikanan yang mengalami cabaran dalam kepupusan sumber dan keperluan terhadap modal yang besar. Kemudahan kredit yang lebih fleksibel harus ditawarkan kepada usahawan-usahawan tani khususnya dalam bidang perikanan dan diurus secara berkumpulan dengan cekap, produktif dan amanah kerana perikanan agak sukar dijalankan secara individu. Latihan dan kursus yang dapat memantapkan pengetahuan serta kemahiran dalam perniagaan pertanian khususnya perikanan harus diberi kepada usahawan dan bakal usahawan di dalam bidang tersebut. Memandangkan faktor utama kepupusan sumber adalah pencerobohan pukat tunda dan pencemaran laut, penguatkuasaan juga harus diberi penekanan yang lebih tinggi.
Manakala cabaran bagi pekebun dan petani berskala kecil adalah lebih kepada permasalahan tanah yang agak kecil untuk memaksimakan pengeluaran serta kekangan terhadap tenaga buruh yang berpendidikan serta tidak cekap. Masalah ini boleh diatasi dengan penggabungan pekebun kecil kepada satu kumpulan yang lebih besar tetapi harus diuruskan secara efisien oleh seorang pengurus yang terlatih, cekap dan amanah. Pengurus dan tenaga buruh diupah dan tanah-tanah yang digunakan adalah pelaburan yang dibayar keuntungannya kepada tuan punya tanah tersebut dan sebaiknya pengurusan gabungan ini adalah diluar dari institusi kerajaan yang seharusnya hanya berperanan sebagai pemberi nasihat dan menyalurkan bantuan yang sewajarnya.
Terdapat pelbagai lagi cabaran-cabaran yang dihadapai oleh usahawan tani yang perlu diberi penekanan dan diberi bantuan sewajarnya dalam usaha para usahawan dalam bidang pertanian untuk terus proaktif dan berdaya saing dengan industri-industri lain di Malaysia. Cabaran seperti bencana alam yang sukar untuk diatasi contohnya boleh diberi fokus yang sepatutnya dalam memastikan kerugian terhadap kejadian bencana alam dapat diminimumkan. Cabaran dari segi rangkaian antara usahawan dan pembeli serta peraih mereka yang perlu juga diberi penekanan agar tiada pihak yang mengambil kesempatan hingga mengaut keuntungan yang lebih sedangkan usahawan tani hanya mendapat keuntungan yang minimum. Polisi pertanian negara di alaf baru ini banyak dipengaruhi oleh persekitaran ekonomi domestik dan antarabangsa yang sangat mencabar. Kini, ekonomi negara sering berada dalam proses mengadaptasi dengan suasana atau situasi kejutan nilai wang yang semakin menurun secara drastik. Akibat dari situasi ini, kesan negatifnya memberi impak yang signifikan kepada industri dan secara langsung ia memberi kesan kepada sektor pertanian dalam peningkatan kos operasi. Kos yang semakin meningkat kepada elemen utama dalam sektor pertanian seperti kos bahan mentah, baja serta jentera pertanian yang diimport berupaya menggugat kecekapan pengeluaran pertanian negara.

SOKONGAN DAN BANTUAN KERAJAAN
Berbincang mengenai sokongan dan bantuan dari kerajaan kita tidak terlepas dari dasar-dasar yang perkenalkan oleh kerajaan Malaysia sejak dari dahulu. Salah satu dasar yang berkait rapat dengan pertanian adalah Dasar Pertanian negara yang telah dilancarkan pada 12 Januari 1984. Dasar ini menumpukan usaha kerajaan Malaysia dalam usaha membangunkan sektor pertanian secara holistik. Ia juga telah berupaya menyediakan peluang pekerjaan, membekal sumber bahan mentah bagi sektor perindustrian, menyediakan sumber makanan dan meningkatkan eksport negara. Antara matlamat utama Dasar Pertanian Negara dilaksanakan di Malaysia ialah untuk memaksimakan pendapatan sektor pertanian melalui penggemblengan sumber negara yang cekap dan berkesan. Selain itu ia juga penumpuan kepada usaha memaju dan mempertingkatkan hasil dan mutu komoditi-komoditi yang berpotensi besar untuk dieksport atau menjadi bahan gantian import serta komoditi-komoditi terpilih untuk bahan makanan dan perindustrian adalah amat perlu. Fokus yang diberi tumpuan oleh Dasar Pertanian Negara ini dapat mamaksimumkan pendapatan usahawan-usahawan tani melalui peningkatan keupayaan pengeluaran dan sejajar dengan usaha mengurangkan kadar kemiskinan dan memperbaiki kualiti hidup rakyat. Dasar ini juga menumpukan aspek peningkatan pengeluaran makanan tempatan yang lebih fokus kepada pengeluaran makanan utama yang mempunyai kelebihan bersaing dari segi kos, mewujudkan zon bagi pengeluaran makanan dan menyediakan galakan, pinjaman dan infrastruktur bagi pengeluaran makanan.
Terdapat pelbagai agensi kerajaan yang memainkan peranan dalam usaha membantu dan membimbing usahawan-usahawan tani dalam usaha mengaktifkan sektor pertanian dalam penjanaan ekonomi dan keuntungan. Selain itu juga galakan dari kerajaan penglibatan sektor swasta juga merupakan inisiatif yang banyak membantu dan mempengaruhi kemajuan dan pembangunan perniagaan berasaskan pertanian. Ini termasuklah penyedian garis panduan pelaburan asing dalam sektor pertanian. Senarai aktiviti yang digalakkan akan disemak dari masa ke semasa sejajar dengan penumpuan terhadap pembangunan pertanian di Malaysia. Penubuhan institusi-institusi pembangunan kawasan, penyatuan dan pemulihan tanah seperti FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi-agensi pembangunan wilayah telah mempergiatkan lagi pembukaan tanah baru untuk tanaman industri di samping mencapai matlamat membasmi kemiskinan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sementara itu, penubuhan agensi-agensi khusus seperti FAMA(1965), Bank Pertanian Malaysia (BPM) (1969), MARDI (1969), Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) (1971), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) (1971), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) (1970), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) (1972), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) (1973) dan beberapa agensi yang lain telah menyediakan kemudahan pemasaran, penyelidikan, kredit dan khidmat sokongan kepada kumpulan sasar dan mempergiatkan lagi pembangunan sektor pertanian.
Agensi kerajaan juga bertanggungjawab dengan usahasama syarikat swasta dalam membangunkan tanah-tanah baru untuk tujuan pertanian. Usahasama yang dijalankan ini dapat memacu dengan lebih agresif dan kompeten lagi dalam memastikan industri pertanian semakin maju dan bersifat global. Kerajaan telah mengilhamkan beberapa tranformasi yang menjurus kepada pembangunan yang positif terhadap bidang pertanian. Antaranya transformasi ladang di mana pekebun-pekebun kecil disatu dan digabungkan bagi meningkatkan dan mengoptimumkan pengeluaran agar mendapat pulangan yang lebih baik dikalangan pekebun kecil. Transformasi tenaga buruh kepada penggunaan mesin dan jentera yang lebih moden. Kerajaan telah dengan inisiatifnya memberi bantuan dari aspek pendidikan dan latihan terhadap teknologi pertanian yang lebih moden dan berupaya meningkatkan pengeluaran tanpa membebankan kos terutamanya tenaga buruh. Ini juga termasuk program seperti belia tani bagi melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya saing dalam bidang pertanian.
Pihak kerajaan juga menyediakan insentif istimewa bagi projek pengeluaran makanan seperti yang diperuntukan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi mengalakkan lagi kerancakan sektor pertanian dikalangan syarikat-syarikat swasta. Di bawah insentif ini, syarikat-syarikat yang mengusahakan atau melabur dalam projek pengeluaran makanan layak untuk mendapatkan insentif khas selain daripada insentif-insentif lain sepert taraf perintis, insentif untuk menggalakkan eksport dan sebagainya. Pusat Latihan Pertanian Negara pula dibentuk oleh kerajaan bagi merancang, menyelaras dan menilai program latihan kemahiran selaras dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bagi melahirkan pekerja dan usahawan tani yang berpengetahuan dan berkemahiran. Selain pusat latihan Kementerian Pertanian juga mebina Kolej Pertanian dan menaik taraf institusi sedia ada bagi memberikan latihan dan kemahiran yang sewajarnya kepada golongan usahawan tani.
Di samping itu, sebagai usaha untuk mempertingkatkan lagi sokongan kepada sektor pertanian khususnya para usahawan tani,kerajaan juga berusaha meningkatkan kemudahan infrastruktur seperti menambah baik kemudahan-kemudahan saliran dan pengairan serta memperbaiki sistem perhubungan dari masa ke semasa. Kemudahan pemasaran seperti pusat pengumpulan dan pengedaran produk pertanian turut disediakan oleh pihak kerajaan. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan keberkesanan rangkaian pemasaran produk berasaskan pertanian dari sumber ke pasaran. Justeru itu, walaupun peruntukan yang besar diperlukan oleh sektor pertanian, kedudukan dan sumbangan sektor ini terhadap perkembangan ekonomi negara tidak dapat disangkal. Oleh yang demikian, mengekal dan memeliharanya merupakan langkah yang sangat relevan dan komited oleh pihak kerajaan di samping dapat memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi dengan tahap keperluan rakyat Malaysia dan pasaran antarabangsa.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, sektor pertanian mempunyai asas yang kukuh dan potensi yang baik serta prospek yang cerah untuk dimajukan dan dibangunkan dengan lebih proaktif. Kita harus menggunakan segala kepakaran yang ada untuk memajukan bidang ini demi kerancakan dan kestabilan ekonomi negara. Rakyat Malaysia pertu dibimbing dan di ubah mentalitinya agar lebih berfikiran terbuka dan positif terhadap potensi sektor ini dalam menjana pendapatan yang lumayan. Sewajarnya juga kita harus menjadikan kejayaan negara-negara maju khususnya negara Jepun yang telah berjaya menguasai sektor perindustrian tetapi dalam masa yang sama terus membangunkan industri pertanian untuk kesejahteraan dan kesinambungan hidup rakyatnya. Sektor pertanian dan khususnya perniagaan berasaskan pertanian harus diberi anjakan paradigma dan transformasi yang sewajarnya supaya sektor ini lebih moden, dinamik dan paling utama berdaya saing.
Dari segi perkembangan pada peringkat global, sektor pertanian sebenarnya mengalami pelbagai perubahan dan permodenan drastik. Sehubungan itu kualiti hasil dan produk perniagaan berasaskan pertanian harus lah dipertingkatkan kualitinya agar dapat terus bersaing sehingga ke pasaran antarabangsa. Para usahawan tani perlu melengkapkan diri dan perniagaan meraka dengan segala maklumat, ilmu mahupun infrastruktur yang terkini dan moden bagi memperolehi ouput yang optimum dan signifikan. Dengan menggunakan pengetahuan bioteknologi, produk pertanian boleh dipertingkatkan dari segi kualiti dan ketahananannya. Contohnya, manipulasi genetik boleh dilakukan untuk mengelakkan tanaman dimusnahkan serangga perosak. Selain itu, produk pertanian juga boleh diimprovasikan dengan kaedah biologi agar mempunyai ketahanan yang lebih lama dan tidak mudah rosak. Biarpun penggunaan bioteknologi sering mendapat kritikan khususnya terhadap produk makanan namun kadar permintaan terhadap produk berkenaan terus meningkat. Jadi, seharusnya masyarakat Malaysia harus memberi peluang dan ruang untuk mereka menceburi bidang pertaniaan sebagai satu perniagaan dan mebantu dalam menjana ekonomi individu, keluarga dan negara Malaysia.

RUJUKAN DAN LAMPIRAN
Mahani Abu Bakar, Industri Tani Malaysia - Dasar Kerajaan Dan Sektor Pertanian, Pustaka Segar, Kuala Lumpur, 2008.
Mahani Abu Bakar, Industri Tani Malaysia - Pembangunan Pertanian, Pustaka Segar, Kuala Lumpur, 2008.
Mahani Abu Bakar, Industri Tani Malaysia - Pertanian Komersial, Pustaka Segar, Kuala Lumpur, 2008.
Mahani Abu Bakar, Industri Tani Malaysia – Penggunaan Teknologi Moden, Pustaka Segar, Kuala Lumpur, 2008.

1 comment: